Oleh Azizul Osman
KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin kanan PAS hari ini berkata parti
pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak akan mengikut acuan orang
lain malah bertegas mampu untuk memimpin gabungan pembangkang yang
baru.
Jelas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali,
PAS boleh jadi faktor penentu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang kerana tidak terikat dengan gabungan pembangkang mahupun
kerajaan.
"Kita telah tegaskan bahawa PAS akan bersendirian. Sesiapa boleh ikut
PAS kita ada Gagasan Sejahtera dan kita boleh mengajak BERSATU (PPBM)
bersama dengan gagasan kami, itu saja.
"Tidak untuk kita ikut orang lain. PAS boleh pimpin pembangkang.
"Kita boleh jadi penentu dan mungkin kita menang negara, kita tidak tahu," katanya di lobi Parlimen hari ini.
Khairuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan
Umno Tan Sri Annuar Musa yang berkata tidak mustahil Umno menerima PAS
dan PAS menerima Umno untuk bekerjasama.
Kata Annuar, PAS-Umno mempunyai banyak titik persamaan iaitu perjuangan
terhadap agama, selain ingin melihat keamanan, kesejahteraan dan
kedudukan Islam pada kedudukan terunggul.
Ujar Khairuddin lagi, PAS hanya enggan menjalin hubungan dengan DAP dan
serpihannya Amanah tetapi masih terbuka dengan Umno-Barisan Nasional
(BN).
Namun katanya lagi, pendirian PAS masih sama iaitu tidak akan bergabung dengan Umno-BN untuk tujuan politik.
"Dengan DAP ya (putus hubungan). Amanah mereka kita anggap sebagai
orang yang keluar daripada PAS dan khianat kepada kami. Takkan ada
rundingan dengan PAN (Amanah)," katanya.
PAS kini dilihat "mesra Umno-BN" kerana mahu mendapatkan sokongan dalam
usul Rang Undang-undang Pemerkasaan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) Pindaan 2016.
"Kerjasama dalam ada sahaja perkara yang baik. Itu boleh berlaku
contohnya dalam RUU355 kita harapkan kerjasama terutamanya kerajaan.
"Jadi kita akan teruskan sikap kita iaitu bekerjasama dengan sesiapa
sahaja dalam perkara melibatkan Islam tetapi kita tegakkan bahawa tidak
akan ada gabungan PAS dan Umno," jelasnya lagi.
PAS kini mengetengahkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS)
apabila tidak lagi menyokong secara membuta tuli terhadap setiap yang
dilakukan pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.