HULU SELANGOR: Jabatan Kerja Raya (JKR) memerlukan antara tujuh hingga
10 hari bagi membaiki laluan yang terjejas akibat runtuhan tanah di
Taman Idaman, Serendah, termasuk menurap semula laluan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata
tempoh itu berdasarkan hasil pemantauan teknikal oleh JKR yang mendapati
masih ada aliran air di bawah tanah di lokasi terbabit.
Katanya, laporan penuh mengenai kejadian juga akan dikeluarkan dalam tempoh tiga atau empat hari lagi.
"JKR juga perlukan masa untuk melakukan siasatan dan analisis kerana
masih terdapat pergerakan air di bawah tanah. Proses ini mungkin lebih
rumit jika hujan berterusan," katanya pada sidang media di sini, hari
ini.
Katanya, JKR turut memaklumkan rancangan untuk memasang cerucuk lebih kukuh bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Sementara itu, beliau menggesa penduduk terjejas supaya mendaftar
dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memudahkan proses
mengumpul data dan pemantauan.
"Walaupun 64 keluarga sudah berpindah keluar dari rumah mereka seperti
diarahkan, ada 22 keluarga lagi belum mendaftar dengan JKM.
Mungkin mereka menumpang di rumah anak atau saudara mara dan saya minta
mereka daftar dengan JKM supaya kita tahu dan mudah memantau pergerakan
mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.