Oleh Haizal Yatiran
KUALA LUMPUR: Sekumpulan bekas ahli termasuk bekas pemimpin MIC yang dipecat oleh parti itu bakal menubuhkan parti baru, menurut bekas Bendahari Agung MIC, Datuk R Ramanan.
Beliau tidak menamakan secara terperinci individu-individu yang
terlibat dalam gerakan berkenaan dan mendakwa dirinya juga tidak
terlibat.
Penubuhan parti serpihan itu dikatakan sebagai respon kepada tindakan
pemecatan beberapa pemimpin tinggi MIC termasuk bekas Setiausaha
Agungnya, AK Ramalingam kerana lantang mengkritik kepimpinan Presiden
MIC, Datuk Seri Subramaniam.
"Setahu saya, ada sekumpulan orang yang mengambil keputusan untuk
berkemungkinan menubuhkan parti baru. Jadi kalau mereka menubuhkan parti
baru, itu adalah hak mereka.
"Kalau mereka rasa mereka mampu tubuhkan parti baru dan boleh
mendapatkan sokongan yang padu daripada rakyat, terpulanglah kepada
mereka," kata Ramanan kepada pemberita hari ini.
Ramanan yang juga dipecat serentak bersama bekas Setiausaha Agung itu
bagaimanapun menolak penglibatannya dalam kumpulan yang mahu menubuhkan
parti baru itu.
Mengulas lanjut berkenaan krisis yang berlaku dalam MIC, ia bergantung
kepada kepimpinan parti tersebut untuk membuat keputusan sama ada mahu
melantik beliau semula ke dalam parti atau tidak.
"Bagi saya buat masa ini saya masih di luar MIC. Saya masih belum balik ke dalam MIC. Saya masih ahli yang sudah dipecat.
"Apa-apa kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak sebelah
(Subramaniam), terpulanglah kepada kepimpinan MIC sekarang, mereka mahu
saya atau tidak, terpulanglah.
Subramaniam sebelum ini mengesahkan bahawa krisis parti itu yang
berlarutan sekian lama sudah selesai dengan kebanyakkan cawangan parti
mendokong kepimpinan beliau.
Bagaimanpun bekas presiden MIC Datuk G. Palanivel, Ramanan dan beberapa
bekas pemimpin parti itu terus menyisih daripada parti itu.
MIC sebelum ini pernah menyaksikan beberapa parti serpihan ditubuhkan
dalam kalangan kaum India oleh kumpulan yang keluar daripada pucuk
pimpinan baru parti itu.
Krisis yang berlarutan itu menyebabkan MIC kalah teruk pada pilihan
raya umum yang lalu apabila hanya memenangi empat kerusi parlimen.
Penubuhan parti serpihan bukan fenomena baru dalam sejarah MIC apabila pemimpinnya bertelagah.
Antara parti serpihan dari MIC yang pernah wujud sebelum ini adalah
Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF), yang ditubuhkan pada 1990 oleh
bekas Naib Presiden MIC, Tan Sri M G Pandithan apabila beliau dipecat
daripada MIC pada 1988.
Parti Demokratik India Malaysia(DMIP) juga merupakan sebuah parti serpihan MIC yang diasaskan pada 19 Oktober 1985.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.