Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur enggan melayan Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang menuduh beliau sebagai 'nyanyuk'.
"Biarlah apa dia nak kata, saya tak nak layan orang macam itu," kata Tengku Adnan.
Jamal selepas dibebaskan dari tahanan lokap menyelar menteri wilayah persekutuan itu kerana mengancam untuk mengenal pasti anggota Umno yang terlibat dalam himpunan Baju Merah, Sabtu lalu.
Jamal yang merupakan ketua bahagian Umno Sungai Besar menafikan anggota Umno terlibat dalam demonstrasi yang diketuainya bagi menghalang perhimpunan BERSIH5.
Mengulas tindakan disiplin yang bakal diambil terhadap pemimpin mahupun anggota parti yang menyertai himpunan Baju Merah, Ku Nan berkata pihaknya sedang meneliti perkara tersebut.
Anggota parlimen Putrajaya itu berkata tindakan sama juga akan diambil terhadap individu yang melakukan kekecohan di Parlimen Khamis lalu.
"Kita sedang lihatlah kerana kalau semua nak ambil tindakan pun kamu tahulah macam-macam keadaan. Yang buat itu pun gila punya orang jugakan," kata Ku Nan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran dan sesi pengundian Rumawip Residensi Wangsamas, Residensi Desamas dan Residensi Taman Danau Desa di Desa Water Park, Kuala Lumpur hari ini.
Khamis lalu, sidang terakhir Dewan Rakyat bagi tahun 2016 menyaksikan kekecohan apabila kumpulan penyokong anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman 'menyerang' anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Bagaimanapun, Ku Nan dalam satu kenyataan menegaskan Umno tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kekecohan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.