Hatta laskar siber yang tidak dikenali sebagai penganalisis ekonomi, korporat dan perbankan pun menulis membelasah saya. Kita tahulah yang mereka menyiarkan bahan-bahan yang kilang oleh penulis-penulis hantu pemerintah.
Apa yang saya rasa kita semua perlu khuatir ialah kemungkinan syarikat-syarikat milik kerajaan China tidak akan membawa masuk modal sebaliknya meminjam dari pasaran tempatan bagi membiayai projek-projek mereka.
Bukti sudah ada. Banyak syarikat dari negara China telah mengutip modal dari pasaran tempatan dengan melakukan tawaran awam permulaan (IPO) dan menyenaraikan saham mereka di Bursa Malaysia.
Ada kira-kira 10 buah syarikat macam itu dan sebahagiannya telah mungkir janji sehingga menyebabkan pelabur tempatan rugi besar.
Baru-baru ini pula, agensi berita ekonomi Bloomberg melaporkan yang China General Nuclear Power Corporation (CGN) bercadang membuat IPO bernilai AS$400 juta (kira-kira RM1.8 bilion) di Malaysia seawal tahun depan. Bila sesebuah IPO dibuat di Malaysia, logiknya majoriti yang akan membeli sahamnya adalah pelabur tempatan.
Kita tentu masih ingat macam mana awal tahun ini, CGN telah membeli kilang-kilang penjana elektrik milik Edra Global Energy Bhd dengan harga AS$2.3 bilion. Edra adalah anak syarikat 1MDB.
1MDB terpaksa menjual Edra dengan harga murah kerana kesuntukan wang untuk membayar faedah hutangnya yang kini dianggarkan RM53 bilion. Dengan pembelian Edra, CGN kini menjadi pembekal elektrik kedua terbesar di Malaysia selepas Malakoff Berhad.
Jadi adalah tidak mustahil syarikat-syarikat negara China lain yang mendapat kontrak raksasa seperti Bandar Malaysia (tapak TUDM Sungai Besi) dan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur akan juga meminjam modal di Malaysia.
Jadi pelaburan asing yang digembar-gemburkan itu sebenarnya tidak wujud atau kalau wujud pun kecil dan bersifat sementara. Apabila sampai masa, mereka akan pindahkan beban hutang mereka kepada pelabur tepatan melalui IPO.
Natijahnya, syarikat-syarikat milik Kerajaan China membeli aset-aset strategik di negara kita dengan dibiayai oleh kita sendiri melalai pemberian pinjaman dan pembelian saham IPO. Kita mungkin memiliki sedikit saham tetapi kawalan dan pengurusan adalah di tangan mereka.
Hutang Mudah Bayar Susah
Sekarang Mohd Najib membebankan kita dengan RM55 bilion hutang tambahan dari China untuk projek kereta api Pantai Timur. Nilai dolarnya ialah AS$13.73 bilion.
Pinjaman mudah, kata beliau. Semudah mana pun beban tetap ada dan akan ditanggung oleh rakyat jelata dan pembayar cukai hingga tahun 2036.
Yang pasti syarikat-syarikat China itu akan membawa masuk kelengkapan, pekerja serta bahan binaan. Mereka juga akan memaksa kita membeli enjin dan gerabak kereta api dari mereka.
Adalah menjadi amalan syarikat-syarikat milik kerajaan China membawa pekerja dari negara mereka untuk melaksanakan projek di luar asing. Itulah yang berlaku di Afrika.
Kajian Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat mengenai kegiatan ekonomi China di Afrika menganggarkan ada kira-kira 250,000 pekerja China di Afrika pada 2014. Angka itu pernah mencapai 300,000 pada 2011.
Pekerja China di Ghana |
Tidak kurang penting adalah kesan pergantungan kepada China ke atas keselamatan dan kedaulatan negara serta potensi untuk mencetuskan ketegangan.
Sudah ada kelompok dalam masyarakat kita yang menganggap China sebagai penyelamat dan berasa kita perlu berterima kasih kepadanya.
Akhbar The Star milik Persatuan China Malaysia (MCA)
dalam rencana 10 September lalu yang bertajuk “The China Factor in Malaysia’s
Growth” antara lain, berkata:
“In times of trouble, who is it that comes to support
Malaysia? (Dalam kesempitan siapa yang
datang membantu Malaysia?) dan dengan bangga akhbar itu menjawab: It is the
Chinese. (Ia adalah China.)
Kita bukan anti-pelaburan asing atau anti-China. Negara
kita membangun hasil pinjaman luar dan pelaburan asing. Kita tidak mengamalkan
dasar ekonomi anti-modal dan isolationist.
Tetapi apa yang kita khuatir sekarang ialah keutamaan
yang diberikan kepada China seolah-olah tanpa China, negara kita akan hancur berkecai
dan tidak ada negara lain yang bersedia melabur di negara kita kecuali China.
Bukan itu saja, kita seolah-olah memperjudikan maruah,
kedaulatan dan kebebasan kita semata-mata kerana mahukan duit China. Nampak seakan-akan kita ini pengemis.
Secara tidak langsung kerajaan Mohd Najib mengakui bahawa
akibat wabak 1MDB, pelabur asing tawar hati melabur di negara kita atau mereka
tidak bersedia melakukan apa yang sedang dilakukan oleh negeri China.
Di pihak lain pula, China sedar keterdesakan (desperation)
Mohd Najib akibat skandal 1MDB dan mengambil peluang untuk memainkan peranan penyelamat
(seperti yang dilaungkan oleh The Star) maka dengan itu mendapat layanan
istimewa dan sekali gus menjadikan negara kita boneka dalam mainan geopolitiknya.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.