Agenda Daily
Seorang wanita
mendakwa dia telah beberapa kali menjadi mangsa gangguan seksual seorang
bekas menteri sepanjang tempoh setahun perkhidmatannya dengan sebuah
kementerian.
Mangsa yang sudah membuat laporan polis mula diganggu sejak beberapa
bulan dia memegang jawatan yang memerlukan wanita itu berurusan secara
bersendirian dengan bekas menteri tersebut.
Utusan Malaysia melaporkan mangsa yang mula berkhidmat sejak 2014 itu
mendakwa telah dipeluk dan pernah cuba dicium oleh bekas menteri
terbabit.
Malah bekas majikannya itu juga dipercayai telah beberapa kali bertindak mencabul mangsa dengan meraba wanita berkenaan.
Berdasarkan laporan itu, mangsa yang berasa kurang selesa dan kecewa
dengan siri gangguan seksual terbabit, beberapa kali membantah dan
menegur perbuatan bekas majikannya itu.
Sebelum ini, wanita berkenaan mengakui dia tidak mempunyai keberanian
untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa memandangkan bekas
majikannya itu seorang yang berpengaruh ketika itu.
Ini kerana mangsa beranggapan dirinya yang kerdil dan tidak berdaya
untuk meyakinkan pihak polis serta pihak kementerian tentang kejadian
berkenaan memandangkan bekas majikannya itu seorang berjawatan tinggi
dan berpengaruh.
Bagaimanapun, mangsa mengambil keputusan untuk melaporkan kejadian itu setelah dakwaan itu tersebar di media sosial.
Pada 26 Oktober lalu, pengendali portal, Raja Petra Kamarudin
menerusi www.malaysia-today.net mendakwa seorang bekas menteri pernah
terlibat dengan pelbagai tuduhan gangguan seksual.
Dalam pada itu, bekas Menteri yang didakwa itu enggan mengulas lanjut
sebaliknya hanya sekadar menjelaskan dakwaan itu hanyalah fitnah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.