KUALA
LUMPUR: Kemeriahan sambutan Pesta Cahaya atau Deepavali yang sepatutnya
dirai dengan penuh kemeriahan hari ini tidak sama dengan apa yang
dirasai N. Kanagaraj, 59.
Malah katanya cahaya terang yang
diharapkan semakin hambar malah terus malap, jauh dari keceriaan yang
pernah dikecapinya satu ketika dahulu, sebelum bergelar gelandangan di
ibu negara.
Penghuni Pusat Transit Gelandangan Kuala
Lumpur di Jalan Pahang itu mengakui, sejak bercerai dengan isterinya
dua tahun lalu, hubungan kekeluargaan bersama anak dan cucunya turut
terputus.
"Saya ada dua anak di Singapura. Mereka
sudah berkahwin dan saya juga sudah ada cucu. Sejak saya bercerai, saya
terus tiada perhubungan langsung dengan keluarga termasuklah anak dan
cucu saya. Jadi saya tinggal sendirian di sini (Kuala Lumpur)," katanya
ketika ditemui pada sambutan Rumah Terbuka Deepavali, Jom Diwali anjuran
Institut Onn Ja'afar (IOJ) di sini hari ini.
Dia pada masa sama mengakui, sambutan
Deepavali kali ini tidak bermakna apabila bukan sahaja dia tidak dapat
meraikannya bersama keluarga, malah lima anggota keluarganya meninggal
dunia pada tahun ini.
"Itu yang saya rasa amat sedih kerana bila saya telefon adik saya semalam, dia kata dia ada di Langkawi.
"Selain itu, tahun ini saya tidak boleh
sambut dengan begitu meriah dan gembira sebab lima aggota keluarga saya
meninggal dunia tahun ini. Jadi dalam tempoh setahun kita tidak boleh
terlalu bergembira termasuk ketika sambutan Deepavali," katanya.
Bagaimanapun, baginya, walaupun sambutan
Deepavali di pusat transit gelandangan itu tidak semeriah bersama
keluarga, namun ia memberi erti yang cukup besar kepada dirinya.
"Apa yang unik saya lihat di sini adalah
pusat ini masih baharu dan banyak NGO buat sambutan sekaligus
memeriahkan kita yang mana orang macam kami ini yang tidak ada keluarga,
rasa macam kami ini sebuah keluarga yang besar," ujarnya.
Justeru, beliau yang masih menantikan
peluang pekerjaan terus mengharapkan agar mereka di luar sana tidak
memandang rendah kepada golongan gelandangan, kerana itu bukan yang
dipinta.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif
(IOJ), Charles Mohan berkata pihaknya melihat golongan itu sepatutnya
tidak dipinggirkan pada setiap perayaan.
"Jom Diwali adalah program susulan daripada Jom Raya yang kita telah adakan pada Hari Raya Aidilfitri.
"Kita adakan ini adalah sebahagian usaha
kita untuk memberi suasana dan satu peluang baru kepada golongan
gelandangan dan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di sekitar KL
kerana mereka seringkali dipinggirkan dan kami nak mereka sama-sama
merasai kemeriahan sambutan Deepavali sebagai rakyat Malaysia yang
berbilang kaum," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.