Oleh Haizal Yatiran & Azizul Osman
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali hari ini
mengesahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah membuat laporan polis
semalam, berhubung insiden pencemaran air di Sungai Semenyih.
Katanya, laporan tersebut dibuat supaya satu siasatan oleh polis boleh
dilakukan bagi mengheret 'dalang' yang menyebabkan pencemaran tersebut
ke muka pengadilan.
"LUAS sudah ambil inisiatif buat laporan polis jadi biar polis siasat
la. Kita mahu pelaku pencemaran harus dibawa ke muka pengadilan,"
katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar
hari ini mencabar Azmin untuk membuat laporan polis berhubung dakwaannya
bahawa pencemaran air di Sungai Semenyih disabotaj oleh Barisan
Nasional (BN) dan Umno.
Noh sebaliknya berkata, Azmin perlu menyedari perkara itu berpunca
daripada kelemahan kerajaan negeri pimpinannya sendiri dalam
menyelesaikan urusan pengambilalihan industri air di negeri itu.
Azmin semalam mendakwa pencemaran air di sungai berkenaan yang menjejaskan kira-kira sejuta penduduk berlaku kerana disabotaj.
Pencemaran Sungai Semenyih itu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA)
Sungai Semenyih terpaksa ditutup, sekali gus mengakibatkan empat daerah
terjejas, iaitu Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang.
Penutupan LRA itu pagi semalam, adalah kali kelima dalam tempoh sebulan
selepas Sungai Semenyih tercemar disyaki berpunca dari kawasan
perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.