Oleh Haizal Yatiran & Azizul Osman
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rahman Dahlan membuktikan dakwaannya
bahawa terdapat syarikat-syarikat yang menerima kontrak daripada
kerajaan Persekutuan tetapi menyokong gerakan BERSIH 5.
Katanya, Rahman tidak boleh sekadar membuat kenyataan sebaliknya perlu
tampil dengan bukti kukuh ketika membuat dakwaan seperti itu.
"Itu saya rasa tindakan BN. Dia yang buat sewenang-wenangnya tanpa
merujuk undang-undang. Ini memang cara dan budaya Umno dan menteri, di
mana (mereka) suka lemparkan fitnah. Terpulanglah pada beliau," ujarnya
kepada pemberita di lobi Parlimen.
Guan Eng berkata demikian mengulas kenyataan Rahman pada Ahad bahawa
terdapat banyak syarikat yang menerima kontrak daripada Kerajaan
Persekutuan, namun menyokong dan memberi dana kepada BERSIH 5 yang
mempromosikan gerakan menjatuhkan kerajaan.
Rahman sebelum itu menyatakan sokongannya kepada saranan penulis kolum
akhbar Utusan Malaysia, Awang Selamat, untuk menyenaraihitamkan syarikat
yang menerima kontrak kerajaan tetapi menaja gerakan BERSIH 5 dalam
diam-diam.
Susulan itu, Rahman berkata beliau akan mengarahkan Unit Perancang
Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk mengenal pasti
syarikat-syarikat tersebut.
Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan itu kemudian diminta mengulas
adakah terdapat syarikat di Pulau Pinang yang turut berbuat demikian,
seperti yang didakwa.
Beliau berkata mana-mana pihak yang membuat tuduhan itu perlu menunjukkan bukti sebelum melemparkan sesuatu tuduhan.
"Itu yang saya sebut, kalau ada tunjuk bukti, jangan buat fitnah. Ini
(tuduhan ini) adalah untuk alih perhatian daripada belanjawan yang
dibentang perdana menteri, yang terbukti tidak bantu rakyat.
"Bagi BR1M, tambah RM200, tapi naikkan harga minyak masak dan tol.
Akhirnya kenaikan RM200 itu, tak cukuppun untuk menampung kenaikan harga
barang," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.