MALAYSIAKINI
Penasihat Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail Aziz
meminta para penjawat awam yang 'menentang' Bajet 2017 yang dibentangkan
oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini meletakkan
jawatan.
Bekas exco Pemuda Umno itu berkata, jika penjawat awam yang tidak
menyokong kerajaan meletakkan jawatan, masih ramai rakyat negara ini
yang akan mengisi kekosongan jawatan tersebut.
"Apa khabar penjawat awam? Kalau rasa tak boleh jadi penjawat awam yang baik dan menyokong kerajaan, sila letak jawatan.
"Ramai yang nak ganti..," kata beliau dalam laman tweetnya.
'Permintaan' Tun Faisal itu agak menghairankan kerana Kongres
Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) belum
mengeluarkan apa-apa kenyataan apatah lagi yang berbaur negatif
berkenaan pembentangan Bajet 2017.
Semasa pembentangan belanjawan tersebut, kakitangan awam yang
mengharapkan bonus pada Bajet 2017 kecewa kerana apabila Najib hanya
mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 yang akan dibayar kepada 1.6
juta penjawat awam.
"Kepada kakitangan awam, saya tahu kamu tak tidur lena jika saya tidak mengumumkan perkara ini. Saya ada berita baik.
"Sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan yang terpuji oleh
penjawat awam, saya dengan sukacitanya mengumumkan bantuan khas sebanyak
RM500 kepada semua penjawat awam dan bayaran khas sebanyak RM250 untuk
pesara kerajaan.
“Bayaran ini akan dibuat pada awal Januari 2017," kata Najib.
Ini adalah tahun kedua kakitangan awam diberikan 'bantuan khas' dan bukannya bonus.
Namun begitu, Najib turut mengumumkan kelayakan pinjaman perumahan
untuk penjawat awam dinaikkan daripada serendah RM120,000 kepada
RM200,000 manakala pinjaman paling tinggi pula daripada RM600,000 kepada
RM750,000.
“Selain itu, kerajaan memutuskan bahawa had pinjaman pembelian
motosikal untuk penjawat awam akan dinaikkan daripada RM5,000 kepada
RM10,000,” ujar Najib.
Beliau turut mengumumkan kemudahan pembiayaan untuk pembelian
komputer diperluaskan meliputi pembelian telefon pintar dengan had
pinjaman sehingga RM5,000 untuk setiap tiga tahun.
“Kontrak pegawai penjawat awam yang terlibat dengan contract of
service dan contract for service yang akan tamat penghujung tahun ini,
akan dilanjutkan sekurang-kurangnya setahun lagi.
“Selain itu, sebanyak 30,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia
akan disiapkan dengan harga jualan antara RM90,000 hingga ke RM300,000,”
katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.