OLEH ERMIZI MUHAMAD
AMPANG: Pementasan Teater Syahid Dukapura mengangkat
kesedaran masyarakat terhadap realiti sebuah kehidupan lebih positif
dalam kalangan masyarakat.
Pengarahnya, Fairul Pujangga berkata pementasan drama pentas ini
dilaksanakan sebagai tanggungjawab sosial dan galakan agar masyarakat
terdidik dengan nilai kemanusiaan sejagat.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya memastikan setiap sisi adegan dan
artistik divisualkan di pentas berfungsi sebagai perangsang daya fikir
audiens yang menonton pementasan ini.
“Berbalik kepada tujuan asal pementasan ini tentunya untuk
menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat bagi membangunkan sebuah
naskhah yang benar-benar bermakna dan ideal,” katanya.
Syahid Dukapura merupakan sebuah nashkah sastera yang memberi tumpuan
terhadap konteks penceritaan yang berkisahkan tentang primitif
masyarakat yang terikat dengan kehidupan mistik.
Ia menceritakan bagaimana teraju utama, Arjuna yang terpaksa bergelut
dengan konflik kekeluargaan apabila ayahnya, terikat dengan perjanjian
dengan kuasa jahat.
Ekoran melanggari pemeteraian perjanjian tersebut, musibah besar
melanda seluruh masyarakat di perkampungnya yang memerlukan penyudah
segera teraju utama.
Pementasan teater dipentaskan di Auditorium, Majlis Perbandaran
Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Institut Terjemahan Buku Malaysi
(ITBM), Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kelab Deklamator Malaysia (DEKMAL) dan
disokong sepenuhnya Kerajaan Negeri.
Terdahulu, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan,
Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari hadir menyaksikan pementasan
teater berkenaan, di sini malam tadi.
Hadir sama, Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain; Presiden DEKMAL,
Kol Mohd Radzi Abdul Hamid dan Sasterawan Negara, Zurina Hassan.
Dalam perkembangan itu, Amiruddin turut menyempurnakan upacara perasmian pelancaran Nashkah Kumpulan Drama Pentas, Konklusi.
Beliau dalam ucapan aluannya turut menyambut baik pelaksanaan
aktiviti sosial berteraskan prospek kesenian untuk memberikan galakan
lebih berkesan kepada masyarakat.
“Sudah tentu apabila kita bercakap soal pembangunan menyeluruh,
adalah penting untuk kita tidak melupakan aspek kebudayaan merupakan
tonggak penting dalam pembangunan tamadun manusia.
“Semoga acara dianjurkan ini memberikan manfaat besar sekali terhadap
golongan muda khususnya pelajar dan mereka yang terlibat dalam
pementasan ini,” katanya. EZY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.