TANJONG KARANG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan tetap menunaikan
janji untuk membina Hospital Tanjong Karang bagi memudahkan penduduk di
situ dan kawasan sekitar mendapat rawatan terbaik.
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata pada masa ini kelewatan
pembinaan hospital berharga RM269 juta itu disebabkan masalah teknikal
antara pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor.
"Pembinaan Hospital Tanjong Karang tetap akan dilaksanakan seperti
dijanjikan dan dimaklumkan surat tawaran pun telah diberikan oleh JKR
kepada kontraktor," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan
sumbangan Deepavali kepada penduduk berketurunan India dalam kawasan
Parlimen Tanjong Karang semalam.
Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan berkata demikian ketika mengulas dakwaan pembangkang kononnya
kerajaan BN tidak menunaikan janji untuk membina hospital itu sebaliknya
bakal membangunkan sebuah klinik pergigian di tapak hospital itu di
Sungai Terap.
Katanya klinik itu pada awalnya dicadang dibangunkan di tapak asal
iaitu bersebelahan perhentian bas di pekan Tanjong Karang, namun
terpaksa dipindahkan ke tapak hospital itu demi keselesaan penduduk
kawasan sekitar.
Hospital itu yang bakal dibina di kawasan seluas 16.1 hektar dan
dijangka memanfaatkan lebih 20,000 penduduk sekitar akan menempatkan
pakar dalam pelbagai bidang kesihatan sekali gus memudahkan penduduk
tempatan mendapatkan rawatan terbaik.
Ia akan menjadi pusat perubatan utama menggantikan hospital sedia ada
di bandar Tanjong Karang, yang bakal dijadikan pusat untuk rawatan
pesakit luar.
Noh yang juga anggota Parlimen Tanjong Karang berkata kerajaan juga
terpaksa menambah peruntukan RM19 juta lagi kepada pembinaan hospital
itu yang pada awalnya dianggar RM250 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.