Apabila Adly Azamin ingin mendapatkan
minyak masak di sebuah pasaraya tempatan di Lembah Klang, didapati rak
yang biasanya menempatkan minyak masak kosong. Begitu juga di
kedai-kedai runcit, tiada bekalan minyak masak. Beliau menjalankan
perniagaan ayam goreng yang memerlukan minyak masak dalam kuantiti yang
banyak.
Senario yang sama dihadapi oleh para
peniaga makanan dan pengusaha kedai makan. Makcik Husna yang berniaga
pisang goreng di Wakaf Bharu, Kelantan juga menghadapi kesukaran
mendapatkan bekalan minyak masak. Untuk pengguna biasa, jika tiada
minyak masak, mereka masih boleh membeli makanan di luar atau memasak
tanpa menggunakan minyak tetapi tidak bagi para peniaga kecil seperti
Adly dan makcik Husna. Jika masalah ini berlarutan, golongan peniaga
kecil seperti mereka akan hilang punca pendapatan. Yang pasti, aliran
wang akan terjejas yang seterusnya akan memberi kesan ke atas kehidupan
keluarga masing-masing.
Dalam keadaan sebegini, seperti biasa,
pahlawan kekunci (keyboard warriors) akan cepat dan sangat mudah
menyalahkan pihak kerajaan, sedangkan mereka harus tahu punca kekurangan
minyak masak di pasaran tempatan.
Susulan pengumuman Persatuan
Pekilang-pekilang Minyak Makan Malaya (Meoma) bahawa harga minyak masak
dalam paket plastik 1kg dan dalam botol 5kg akan dinaikkan bermula 1
November 2016, ramai yang berebut-rebut membeli minyak masak dalam
kuantiti yang banyak. Ada yang pergi ke pasaraya bersama keluarga; suami
beli 2 unit minyak masak, isteri beli 2 unit; dan anak-anak turut
membeli minyak masak bagi pihak ibu bapa mereka. Perbuatan ini pasti
menjejaskan kestabilan stok dan bekalan minyak masak apatah lagi proses
untuk mendapatkan stok minyak masak baharu daripada pemborong atau
pembekal juga mengambil masa beberapa hari.
Dalam masa yang sama, ada juga pihak
pengilang, pembekal dan peruncit yang menyimpan barangan tersebut demi
untuk mendapatkan keuntungan lebih selepas 1 November ini apabila dijual
pada harga RM2.90 jika dibandingkan RM2.50 sekilogram sekarang. Ini
sudah tentu memburukkan lagi keadaan. Perbuatan-perbuatan tidak
bertanggungjawab inilah yang memberi kesan kepada para pengguna yang
lain.
Ramai pihak yang tidak sedar bahawa
pengurangan subsidi minyak masak sebenarnya dibentangkan pada tahun
lepas lagi, dalam Bajet 2016. Walau bagaimanapun, atas keprihatinan
pihak kerajaan, langkah pengurangan subsidi itu ditangguhkan dahulu
sehingga kini demi kesejahteraan rakyat.
Ini kerana kerajaan juga sedar kita
sedang berhadapan dengan ketidakstabilan ekonomi secara amnya.
Rasionalisasi subsidi ini juga bukan bertujuan untuk membebankan
pengguna sebaliknya ia sebagai langkah untuk membendung kegiatan
penyelewengan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari
Abdul Ghani dalam laporan Mingguan Malaysia mengatakan, kerajaan
mengeluarkan subsidi hampir 85,000 tan metrik sebulan tetapi penggunaan
minyak masak di Malaysia hanyalah sebanyak 40,000 tan metrik sebulan.
Kemanakah perginya lebih separuh lagi pengeluaran minyak masak yang
diberikan subsidi oleh kerajaan ini? Ternyata ia telah diseludup ke
negara jiran.
Untuk setiap tan metrik minyak masak,
kerajaan membelanjakan RM1,000 subsidi. Ini bermakna lebihan 45,000 tan
metrik minyak masak menyebabkan kerajaan membelanjakan nilai subsidi
sebanyak RM45 juta sebulan atau RM540 juta setahun; satu jumlah yang
sangat besar. Yang mengaut keuntungan ialah penyeludup yang mencuri
hasil negara dan merugikan rakyat keseluruhannya kerana subsidi ini
datangnya dari cukai yang dibayar oleh rakyat juga.
Penulis kagum dengan ketegasan Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri
Hamzah Zainudin, yang mengatakan tindakan tegas akan diambil termasuk
menarik lesen pembekal dan pemborong minyak masak jika mereka didapati
menyorok barangan itu untuk mengaut keuntungan. Beliau juga bakal
mengarahkan pegawai penguat kuasa KPDNKK untuk pergi ke
syarikat-syarikat pemborong dan pembekal bagi memastikan mereka tidak
menyorok bekalan.
Sinar Harian pada 28 Mac 2016 melaporkan
KPDNKK Negeri Kelantan telah merampas 11,016kg minyak masak pelbagai
jenama bernilai RM27,540 dalam serbuan di sebuah kedai runcit di Rantau
Panjang, Kelantan.
Pengarahnya Datuk Ab Ghani Harun ketika
itu berkata rampasan dalam Operasi Cost Of Living (COL) itu dilakukan
selepas mendapati pemilik kedai berkenaan gagal mempamer sebarang lesen
runcit dan borong. Pemilik kedai runcit itu menyimpan stok minyak masak
tersebut di dalam sebuah bangunan di belakang kedainya berhampiran
Sungai Golok.
Sebelum itu, Datuk Ab Ghani Harun dan
beberapa pegawai KPDNKK Negeri Kelantan telah melawat dan melakukan
pemeriksaan di pasaraya dan kedai runcit di sekitar Narathiwat dan
Pattani dan mereka mendapati 90% daripada minyak masak yang dijual
merupakan minyak masak bersubsidi keluaran Malaysia. Malahan,
kedai-kedai makan di sana turut menggunakan minyak masak Malaysia.
Minyak masak Malaysia menjadi pilihan
utama penduduk Thai kerana mempunyai pengesahan halal selain berkualiti
tinggi, terjamin kebersihan serta harga lebih berpatutan berbanding
minyak masak keluaran Thailand. Minyak masak Malaysia dijual pada harga
RM3.50 di Golok manakala harganya mencecah RM4.50 sekilogram di
Narathiwat dan Pattani. Perbezaan harga yang amat ketara ini memberi
keuntungan berlipat ganda kepada penyeludup, sekaligus menggalakkan
mereka untuk terus membawa keluar minyak masak Malaysia ke negara jiran.
Beliau juga berkata kerajaan belum
memutuskan sama ada untuk memansuhkan subsidi minyak masak dan
kementeriannya juga sedang mengkaji subsidi sedia ada.
Datuk Seri Hamzah memberikan keyakinan
kepada rakyat bahawa harga yang bakal diperbaharui akan mengimbangi
penstabilan subsidi dan harga runcit yang berpatutan. Beliau juga
meminta orang ramai agar tidak menyebar khabar angin berkenaan
kekurangan minyak masak di pasaran ekoran kenaikan harga minyak bermula 1
November 2016 dan pada masa yang sama para peniaga digesa membuat
laporan segera sekiranya tidak mendapat bekalan yang secukupnya daripada
pembekal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.