MIRI - Polis telah membongkar kegiatan
mencuri pasir di litar lumba go kart Permyjaya serta merampas 20 lori
serta dua jenkaut bernilai lebih RM2 juta, jam 8 pagi hari ini.
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am
(PGA) Batalion ke-12 Miri, Superintendan Tan Hiap Seng berkata, atas
maklumat serta intipan selama seminggu 20 buah lori ditahan pada pagi
ini dengan 10 sudah diisi dengan pasir manakala 10 lagi masih kosong
menunggu untuk diisi dengan pasir.
"Siasatan mendapati pasir yang dicuri
ialah milik kerajaan negeri untuk dibawa bagi projek pembinaan
Poliklinik kerajaan di jalan Padang Kerbau," katanya dalam sidang media
di sini, hari ini.
Selain daripada lori dan jenkaut, beliau
berkata, seramai 22 pemandu lori termasuk pemandu jenkaut berumur
30an-50an telah ditahan polis untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, operasi yang dijalankan
bersama dengan Jabatan Tanah dan Survei Miri itu mendapati kontraktor
yang bertanggungjawab ke atas lori-lori tidak mempunyai permit untuk
membawa pasir dan ini menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 32 (a)
Kanun Tanah Sarawak. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.