Hasil kajian 2 penyelidik mendapati beberapa hospital
besar kerajaan cuai berhubung keselamatan kebakaran dan kakitangan
tidak tahu mengenai pelan keselamatan.
GEORGE TOWN: Satu kajian mengenai langkah keselamatan kebakaran di hospital kerajaan mengenal pasti beberapa kelemahan di beberapa hospital besar termasuk masalah pendawaian lama.
Dr Mohd Zailan Suleiman dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan di Universiti Sains Malaysia (USM) turut mencadangkan audit keselamatan kebakaran dengan segera, susulan kejadian di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pagi tadi yang mengorbankan 6 pesakit dan mencederakan beberapa kakitangan hospital.
“Daripada kajian saya, ramai kakitangan hospital tidak tahu kaedah mengendalikan kebakaran, seperti jenis pemadam api yang perlu digunakan jika berlaku pemindahan,” kata Zailan, pensyarah kanan USM, ketika dihubungi FMT.
Zailan berkata menerusi audit itu, satu pelan keselamatan kebakaran boleh dibuat untuk mencegah ancaman kebakaran pada masa depan.
Menurutnya, audit itu berguna untuk hospital lama di negara ini kerana dibina pada era yang tidak terlalu memfokuskan kepada peraturan keselamatan kebakaran.
“Dalam audit, anda dapat mengenal pasti penanda keselamatan kebakaran aktif dan pasif di dalam bangunan itu. Hospital swasta cemerlang dalam perkara itu kerana kebanyakannya saya perhatikan mengambil langkah aktif memastikan pelan keselamatan kebakaran dilaksanakan.
“Daripada kajian saya, ramai kakitangan hospital tidak tahu kaedah mengendalikan kebakaran, seperti jenis pemadam api yang perlu digunakan jika berlaku pemindahan,” katanya.
Zailan ialah penulis bersama bagi kertas kajian mengenai pengurusan keselamatan kebakaran hospital kerajaan Malaysia yang diterbitkan dalam sebuah jurnal antarabangsa tahun lalu.
Kertas kajian yang ditulisnya bersama rakan sekerja Woon Chin Ong bertajuk “Masalah dalam
Pelaksanaan Pengurusan Keselamatan Kebakaran di Hospital Kerajaan Malaysia” diterbitkan dalam edisi ke-9 jurnal “Advances in Environmental Biology” pada Mac 2015.
Mereka mengkaji 4 hospital besar kerajaan di Malaysia, tetapi tidak menamakannya.
Zailan berkata hospital besar lama dibina sebelum penguatkuasaan penyeragaman undang-undang kecil bangunan, termasuk Hospital Pulau Pinang serta hospital lain yang dibina sebelum 1970-an.
Katanya, risiko terbesar kebanyakan bangunan itu ialah pendawaian lama.
“Paling teruk ialah pintu terkunci pada waktu malam. Bila kebakaran tercetus, bagaimana pesakit hendak menyelamatkan diri? Pintu rintangan api perlu sentiasa dibuka,” katanya.
Hospital Sultanah Aminah yang terbabit dengan kebakaran pagi ini dibina pada 1938.
Zailan berkata beberapa hospital baharu juga tidak terlepas daripada bahaya.
Beliau berkata ini masa paling sesuai untuk kerajaan menyediakan peruntukan kepada semua hospital besar supaya audit dapat dilakukan dan pelan keselamatan kebakaran dilaksanakan.
“Kekurangan pelan pemindahan yang sempurna dan pintu rintangan api terkunci antara risiko utama di hospital besar kerajaan.
“Jika pelan keselamatan kebakaran dilaksanakan menerusi audit, kita akan mengelak tragedi pada masa depan,” katanya.
Beliau mendesak kerajaan menjalankan pemeriksaan berkala terhadap hospital kerajaan, seperti ditetapkan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Katanya, meskipun Seksyen 85 dalam akta itu membenarkan pemeriksaan bangunan berkala, penguatkuasaan oleh pihak berkuasa sangat lemah, menyebabkan pengabaian keselamatan kebakaran di hospital.
Dalam kajiannya, Zailan dan Woon menyatakan hampir semua hospital yang dikaji cuai berhubung keselamatan kebakaran dan banyak tidak tahu mengenai pelan keselamatan, walaupun pelan itu ada di hospital mereka.
Antara masalah yang disenaraikan ialah:
- Peralatan pemadam api disekat. Pekerja am sering menggunakan kabinet hos kebakaran sebagai stor untuk barangan pembersihan mereka, kerana ia terletak lebih dekat berbanding tempat simpanan mereka.
- Laluan menyelamatkan diri dihalang peralatan perubatan.
- Pintu rintangan api biasanya dibuka pada waktu siang dan dikunci pada waktu malam, sedangkan ia sepatutnya ditutup pada hari siang.
- Pengesan asap tidak berfungsi dengan baik. Pengkaji mendapati ia hanya berkesan di kawasan terjejas tetapi tidak bersambung kepada sistem amaran bangunan utama.
- Pintu gelangsar dan jenis pagar. Pintu seperti ini tidak dapat menghentikan api merebak ke bahagian lain di hospital.
- Penggunaan kayu dan bahan berunsurkan kayu patut diharamkan. Ada hospital didapati menggunakan kertas dinding dibuat daripada plastik, yang juga perlu dilarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.