Jumaat, 2 September 2016

Zika: Pesakit wanita beransur pulih

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pesakit wanita yang dijangkiti virus Zika di negara ini dilaporkan semakin pulih selepas menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB).
 
Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit) HSB, Datuk Dr Christopher Lee berkata simptom jangkitan yang dialami wanita berusia 58 tahun itu termasuk ruam sudah hilang.
 
"Kami akan melakukan ujian darah ke atasnya hari ini dan sekiranya keputusan itu negatif, dia akan dibenarkan pulang dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya hari ini.
 
Dr Lee berkata ruam ringan yang dialaminya sudah hilang dalam masa dua atau tiga hari dan ujian darah terakhir didapati negatif.
 
Namun, hospital membuat keputusan untuk menahannya lebih lama bagi memastikan tiada jangkitan terhadap orang lain.
 
Katanya, ujian darah pada hari ini akan disahkan semula untuk memastikan dia bebas daripada virus Zika.
 
Wanita itu mendapat jangkitan Zika selepas pulang melawat anaknya di Singapura pada pada 21 Ogos.
 
Pada awalnya wanita itu mengalami ruam dan demam serta mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Klang.
 
Dia kemudiannya dirujuk ke HSB dan pada 31 Ogos lalu, sampel air kencingnya didapati positif virus Zika.
 
Anak perempuannya yang bekerja dan tinggal di Paya Lebar, Singapura turut dijangkiti virus itu.
 
Suami dan beberapa ahli keluarga lain wanita itu yang tinggal bersama di kediaman mereka di Ambang Botani masih belum menunjukkan sebarang tanda jangkitan.
 
Dr Lee berkata jika seorang wanita yang dijangkiti virus Zika, cecair pada farajnya mungkin mengandungi virus itu sehingga dua bulan selepas dia pulih.
 
"Jadi, jika dia melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki dalam tempoh dua bulan, lelaki itu boleh dijangkiti virus Zika.
 
"Virus itu juga boleh kekal dalam sperma lelaki sehingga enam bulan selepas pesakit pulih," katanya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.