N Faizal Ghazali
Penyokong bola sepak Kelantan tampil menjawab dakwaan penaja utama
skuad The Red warriors Datuk Seri Hasmiza Othman yang merungut 'tidak
nampak untung' hasil penajaan terhadap pasukan itu.
Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.net)
Mahizi Mahmood berkata, sebagai penyokong mereka amat bersyukur apabila
Hasmiza pada awalnya mengaku ingin membantu Persatuan Bola Sepak
kelantan (Kafa).
Lebih-lebih lagi katanya, terdapat anak kelantan yang ikhlas membantu
di kala bola sepak Kelantan sedang 'sakit' pada ketika itu.
"Sememangnya bola sepak boleh dijadikan platform untuk memperkenalkan
jenama, tapi bukan untuk mendapat keuntungan berjuta-juta sekelip mata.
"Jangan ada niat kita menolong orang yang sakit dan berharap apabila
sembuh, kita gunakan orang sakit ini sepenuhnya," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Hasmiza atau dikenali sebagai vida hari ini dilaporkan sudah tawar
hati untuk meneruskan tajaannya terhadap pasukan Kelantan susulan produk
keluaran syarikatnya dan jersi tidak mendapat sambutan penyokong.
Mahizi berkata, pihaknya mengakui Hasmiza telah membawa nafas baru
dalam bola sepak di negeri Cik Siti Wan kembang itu sehingga memberi
harapan tinggi buat penyokong.
"(Hasmiza) Memberi harapan kepada penyokong sehingga penyokong meletakkan harapan yang tinggi di bahu beliau.
"Namun pelbagai kontroversi remeh yang timbul sedikit sebanyak
memberi impak kepada penyokong. Penyokong mahukan semuanya lancar
seperti yang dikatakan," jelasnya.
Stadium, jersi dan penampilan
Tiga perkara kata Mahizi, mewujudkan rasa kurang senang di kalangan
penyokong susulan pendekatan jutawan kosmetik terhadap pasukan itu.
Dalam isu stadium menurutnya, Hasmiza telah melakukan penambahbaikan
yang amat ketara tetapi dalam sejarah pasukan Kelantan belum ada yang
berani mengubah warna pasukan.
"Ini berlaku sedikit ketidakpuasan hati sesetengah penyokong sehingga
menjadi perdebatan di laman sosial dan dijadikan bahan lawak penyokong
pasukan lain. Sedikit sebanyak mencabar maruah anak Kelantan.
"Jersi yang dikeluarkan gagal menambat hati penyokong setia biar pun
dikeluarkan dalam tiga versi harga yang berbeza. Mungkin citarasa
peminat sekarang berbeza dan fobia dengan kualiti jersi sebelum ini,"
katanya.
Selain itu tambahnya, isu ketiga melibatkan penampilan Hasmiza sendiri yang kini dilihat semakin 'menjauh' daripada pasukan itu.
"Sejak akhir ini beliau kurang muncul di stadium, tidak seperti awal
musim di mana beliau sering dilabel sebagai ikon bola sepak Kelantan. Ia
membuatkan pelbagai tanggapan negatif muncul," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.