Selasa, 27 September 2016

Mati dalam tahanan: Mahkamah benarkan bedah siasat kedua

MALAYSIAKINI


Mahkamah Tinggi Kota Baru hari ini membenarkan keluarga Azri Mohamed, yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis kira-kira dua minggu lalu, melakukan bedah siasat kedua.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Bache membenarkan permohonan kakak Azri, Norsyazmira Mohamed sejurus selepas beliau memfailkan permohonan itu petang ini, kata peguam keluarga itu, N Surendran.

"Perintah (dari hakim) berkata bahawa tubuh Azri akan diambil dari Hospital Kota Baharu ke Hospital Besar Kuala Lumpur bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan," kata peguam itu kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Azri, yang pertama kali ditangkap pada 10 Julai lalu berhubung kesalahan kecil memiliki dadah ditahan di Penjara Pengkalan Chepa di Kota Baru, kata Surendran.

Menurutnya, lelaki itu dibawa ke Hospital Kota Baru dari penjara pada 15 Ogos lalu. Beliau dilaporkan dalam keadaan koma dan akhirnya meninggal dunia pada 14 September.

Pada ketika Azri di hospital, keseluruhan usus besarnya dikeluarkan, kata Surendran.

Norsyazmira, katanya, memohon bedah siasat kedua kerana beliau tidak berpuas hati dengan keputusan pertama.

"Beliau (pakar patologi yang menjalankan bedah siasat pertama) mendakwa bahawa kematian disebabkan oleh jangkitan, walaupun keseluruhan usus besar telah dibuang dan Azri sendiri memberitahu kakaknya dia telah dipukul ketika dalam penjara.

"Beliau (Azri) dalam tahanan penjara apabila perkara ini berlaku - dia dipukul atau sesuatu yang buruk berlaku - di mana dia akhirnya terpaksa mengeluarkan usus besarnya dan kemudian meninggal dunia.

"Keluarga mahu penjelasan mengenai bagaimana ini boleh berlaku," katanya.

Surendran juga berkata kakak Azri ketika melawatnya di penjara pada 10 Ogos lalu mendapati adiknya itu dalam keadaan sangat sakit dan terpaksa dipapah sebelum boleh berjalan.

Walau bagaimanapun, keluarganya diberitahu oleh polis bahawa Azri hanya dihantar ke hospital pada 15 Ogos, katanya.

"Itu adalah lima hari kemudian. Mengapa beliau tidak dibawa ke hospital secepat mungkin apabila dia jatuh sakit?" soalnya.

Sambil memuji hakim kerana memberi keputusan segera, Surendran berkata, mudah-mudahan keputusan bedah siasat kedua itu akan diselesaikan dalam tempoh beberapa hari.

Beliau juga berkata akan membangkitkan isu berkenaan pada sidang Parlimen, yang bermula 17 Oktober ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.