Katanya, BN tetap akan gagal merampas Selangor jika
perlawanan 1 lawan 1 dilakukan, tetapi parti pemerintah boleh menawan
negeri itu jika berlaku pertembungan 3 penjuru.
PETALING JAYA: Datuk Iskandar Abdul Samad berkata apa yang penting ketika ini ialah memastikan hanya pertembungan 1 lawan 1 berlaku dalam pilihan raya di Selangor, bukannya pertandingan 3 penjuru.
Exco kerajaan negeri Selangor itu berkata demikian ketika mengulas cadangan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang untuk mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor lebih awal bagi mengelak peta pilihan raya baharu dalam persempadanan semula.
Iskandar berkata cadangan Kit Siang itu perlu dibincangkan terlebih dulu secara terperinci sebelum sebarang keputusan diambil.
“Cadangan itu perlu dibincangkan dengan lebih terperinci sama ada pembubaran DUN lebih awal akan dibuat atau tidak. Tetapi, kalau hendak buat kena pastikan akan berlaku 1 lawan 1 terlebih dulu,” katanya kepada FMT.
Kit Siang sebelum ini berkata Selangor perlu bertindak sedemikian supaya tidak perlu memakai peta pilihan raya baharu yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata pilihan raya negeri awal boleh menjadi pilihan, susulan cadangan persempadanan semula SPR yang “meremukkan dan menyembelih peta Selangor semata-mata untuk mengembalikan Umno di negeri itu”.
Bagaimanapun, Iskandar yang juga naib presiden PAS menyanggah kenyataan Kit Siang itu dan percaya BN tidak akan dapat merampas Selangor sekiranya pertandingan 1 lawan 1 dapat dilakukan.
“Jika berlaku 1 lawan 1, BN tetap akan gagal merampas Selangor. Tetapi jika berlaku 3 penjuru, Selangor akan dapat dirampas BN,” katanya.
Semalam, Pengarah Pilihan Raya PKR Nurul Izzah Anwar berlangkah langkah SPR itu “penipuan sistematik”, manakala beberapa pemimpin DAP sebelum ini mempersoalkan perbezaan besar bilangan pengundi di antara sesebuah kawasan parlimen.
Cadangan SPR itu melibatkan 128 kawasan Parlimen, dan boleh dibantah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi dalam kelompok 100 orang, sebelum 15 Oktober.
Antara kawasan terlibat termasuk Gelang Patah yang diwakili Kit Siang, yang semalam menyenaraikan 13 kawasan Parlimen dengan bilangan pengundi melebihi 100,000 orang.
BN di Selangor tewas pada pilihan raya umum 2008 dan sekali lagi gagal menawan kembali negeri terkaya di Malaysia itu pada 2013, dengan hanya menerima 12 kerusi diwakili Umno. PRU akan datang perlu diadakan pada 2018.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.