Cupeacs berkata cadangan itu juga boleh menjejaskan pendapatan mereka yang dibayar gaji mengikut jam.
GEORGE TOWN: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak menyokong cadangan pengurangan waktu bekerja kepada 6 jam sehari.
Presidennya Datuk Azih Muda berkata, mereka yang bersetuju dengan cadangan untuk mengurangkan waktu kerja daripada 8 jam sekarang kepada 6 jam hanyalah mereka yang malas.
“Tiada siapa yang bekerja 8 jam secara berterusan. Pekerja keluar untuk waktu rehat minum kopi atau keluar untuk mengambil anak pulang dari sekolah dan lain-lain. Oleh itu, Cuepacs membantah idea tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Kesatuan Anggota KEMAS semalam.
Idea waktu bekerja selama 6 jam sehari dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Azih juga berkata beliau khuatir jika waktu bekerja selama enam jam itu dilaksanakan, ia akan menjejaskan pekerja yang dibayar mengikut jam kerana gaji mereka menjadi lebih rendah terutama dengan kos sara hidup yang semakin mahal.
“Kami berharap kerajaan akan mengkaji dengan teliti perkara itu dan juga berharap waktu kerja tidak dikurangkan tetapi gaji dinaikkan,” katanya.
Sementara itu, Azih berkata, Cuepacs juga berharap Kementerian Kewangan akan memansuhkan kontrak jangka pendek kerana ia menindas pekerja kerana mereka tidak layak untuk menikmati faedah seperti caruman Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan (KWSP).
Azih berkata Cuepacs menerima banyak aduan daripada pekerja dan berpendapat bahawa ia tidak adil untuk mereka.
“Kami berharap kontrak pekerja ditandatangani untuk minimum dua tahun dan ke atas bagi memastikan kebajikan mereka dan berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengambil kira pandangan ini semasa pembentangan bajet akan datang,” katanya.
Najib dijadual membentangkan Bajet 2017 di Parlimen pada 21 Oktober dan meminta orang awam termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik mengemukakan cadangan untuk bajet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.