Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN]
Badrulhisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard bukan lagi
ahli PKR. Surat terakhirnya kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Wan
Azizah Wan Ismail meminta penjelasan pemecatannya tidak berjawab.
Bagaimanapun ini nampaknya tidak menggusarkan aktivis politik yang
mendakwa pernah termasuk dalam kumpulan pembuat dasar atau “duduk dalam
kelambu” parti itu.
Chegubard terus menegur dan membidas apa yang dilihatnya tidak kena
dengan parti diasaskan untuk melakukan reformasi terhadap sistem hidup
di negara ini.
Dalam kenyataan medianya yang mutakhir, Chegubard mengingatkan betapa herotnya sikap dan pendirian politik pimpinan PKR.
Beliau mendakwa apabila Datuk Seri Shafie Apdal keluar Umno kerana
mengkritik isu1MDB dan derma RM2.6 billion yang dikaitkan dengan Datuk
Seri Najib Razak, maka pimpinan PKR menyambutnya bagai seorang wira.
“Ini amat pelik dan penuh hipokrasi kerana bila saya sendiri bercakap
soal korupsi Azmin Ali yang merupakan Timbalan Presiden PKR saya dipecat
dan dituduh memburukkan imej parti dan memecah-belahkan parti,”
katanya.
Lantas Chegubard mempersoalkan di mana dan apakah bezanya PKR dengan Umno dalam perkara ini?
Namun kecenderungan meraikan Shafie Apdal sebenarnya merugikan, malah membawa bala politik kepada PKR sendiri.
Ia sekaligus mempamerkan betapa penilaian dan bacaan politik PKR
dangkal. Mereka seolah-olah rabun akan natijah politik isu berkenaan
kerana sibuk meraikan sesiapa sahaja yang memusuhi musuhnya iaitu Umno.
“Antara hujahnya konon Shafie akan membawa lari orang-orang Umno keluar dan Umno khususnya di Sabah akan lumpuh.
“Minggu lepas Shafie mengumumkan menubuhkan parti, belum pun apa-apa
lagi bukan orang Umno keluar parti tetapi ADUN PKR diculik Shafie,” kata
Chegubard.
Chegu Bard membidas sebagai pelik sikap Presiden PKR memuji tindakan
ADUN yang menjadi Naib Presiden lantikan PKR itu sebagai ‘betul’ dan
menyertai parti tempatan Sabah kononnya bagi menumpukan isu tempatan.
“Ini secara tidak langsung mengiktiraf tindakan tersebut dan membayangkan Keadilan gagal bertindak sebagai parti Sabah.
“Terkini dalam masa terdekat beberapa lagi ADUN dan pimpinan PKR Sabah
akan umum bersama parti Shafie dan dijangka PKR pula akan lumpuh di
Sabah,” katanya.
Chegubard terkenal dengan aktiviti membongkar pelbagai skandal dan isu
yang dianggapnya merugikan rakyat dan maklumat yang diperolehinya kali
ini menunjukkan PKRlah yang terkesan sikap pimpinan tertingginya.
Yang
lebih menggusarkan Chegubard ialah “penghijrahan” beberapa pemimpin PKR
Sabah ke parti Shafie itu didorong oleh dedak yang ditabur beberapa
tokoh korporat negeri itu.
Jika maklumat itu benar bermakna segala tuduhan PKR terhadap
penyokong-penyokong tegar Umno yang didakwa mudah diumpan dedak
sebenarnya adalah masalah yang sama dihadapi PKR di Sabah kini.
“Ini penting kerana benar perubahan perlu ‘diasak’ tetapi adakah
perubahan yang dicitakan boleh dicapai dengan cara begini? Jangan sampai
lari dari mulut harimau masuk mulut buaya...,” kata Chegubard.
Beliau juga mendakwa bahawa ada pimpinan PKR yang menghubunginya supaya
beliau tutup mulut dan menerima pemecatannya dari parti itu.
“Saya diam. Namun keadaan tidak berubah. Kartel Azmin menyerang saya
dengan fitnah termasuk fitnah seks yang jijik (contohnya oleh AMK PJS).
“Malah terbaru ada yang menghubungi keluarga saya kononya mereka ada
bukti kerana mereka memasang penyiasat pensendirian mengekori saya.
“Itu belum lagi beberapa teman yang rapat dengan saya diugut dengan
pelbagai cara agar menjauhi saya. Perangai pemimpin seperti ini lebih
buruk dan jijik dari pemimpin Umno,” katanya.
Chegubard
adalah termometer moral PKR. Bagaimanapun adalah agak jelas pimpinan
PKR tidak selesa kehadiran dan fungsi yang dimainkannya dalam parti
hingga sanggup memecat keahliannya.
“Presiden PKR di bawah kawalan dan tekanan kartel Azmin yang boleh memuji tindakan ADUN keluar PKR, wajib menjawab surat saya.
“(Dalam) 48 jam jika tidak mendapat jawapan jangan salahkan saya kerana
membuat aduan polis berkenaan tandatangan palsu dan laporan ROS juga.
“Saya tegaskan saya bercakap soal keadilan terhadap diri saya yang
bercakap mendedahkan berkenaan korupsi Azmin yang saya buktikan, adakah
ia salah?,” katanya.
Kenyataan media berkenaan dibuat pada Selasa, 27 September lalu. Ini
bermakna besar kemungkinan, Chegu Bard sudahpun ke balai polis membuat
laporan perihal tandatangan palsu digunakan pegawai PKR dalam pengurusan
kes pemecatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.