Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian bagi
meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak perlu
dipolitikkan kerana ia jelas merupakan satu usaha bagi memartabatkan
agama Islam.
Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad berkata, sokongan daripada semua
pihak amat diharapkan apatah lagi daripada golongan agamawan.
"Kita harapkan supaya semua golongan agamawan memberikan sokongan
kerana ini adalah untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah.
"Perkara yang baik perlu disokong, tidak perlu dipolitikkan," katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bahawa RUU 355
tidak boleh disama taraf sebagai undang-undang Allah kerana ia usaha
manusia.
Wan Salim dalam kenyataannya semalam juga meminta mana-mana pihak agar
tidak mengkafirkan orang yang tidak bersetuju dengan usul yang bakal
dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda akta
berkenaan.
Menurut Wan Salim lagi, seseorang tidak wajar memaksa mana-mana ahli
parlimen menerima RUU 355 dengan apa jua cara termasuk mengugut.
Enggan mengulas lanjut, Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang
turut bersetuju dengan padangan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyangkal kenyataan mufti
berkenaan.
Mohd Khairuddin dalam reaksinya menyifatkan kenyataan Wan Salim seolah-olah menjaga kepentingan politik parti tertentu.
Malah beliau sebaliknya berkata, usul yang bakal dibawa Hadi pada
sidang Dewan Rakyat akan datang adalah bagi menegakkan perintah Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.