Khamis, 1 September 2016

DAP tuntut Jamal ‘Ikan Bakar’ isytihar sumber dana bayar perwakilan

Datuk_Jamal_Md_Yunos_RED_SHIRT_PC_150915_TMISETH_01

Roketkini.com


IPOH: DAP menuntut Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar menjelaskan sumber dananya, setelah beliau mengumumkan akan membayar para perwakilan RM1000 seorang.

Datuk Jamal Md Yunos dilaporkan berjanji untuk membayar para perwakilan RM1000 setiap seorang, secara ansuran dua kali bayaran RM500 semalam dan tahun depan, setelah lawatan ke Dubai yang dijanjikan sebelum ini terpaksa dibatalkan.

“Adakah Jamal Yunos wajah sebenar UMNO? Bila lah politik wang akan berhenti?”

Demikian persoalan Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran dalam kenyataannya mempersoal penyakit yang telah membarah dalam parti pemerintah itu.

“Saya pasti bukan ahli UMNO sahaja yang mahu tahu sama ada wang tersebut datang dari poketnya sendiri, dari bahagian atau daripada derma.

“Sekiranya itu wangnya sendiri, maka beliau mesti memberi justifikasi bahawa pendapatannya adalah mencukupi untuk bertindak sebegitu murah hati,” ujar Ahli Parlimen Ipoh Barat itu.

Menurut beliau lagi, Jamal perlu telus tentang sumber dananya, terutama sekali setelah timbul dakwaan bahawa beliau menerima RM3 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menganjurkan perhimpunan Baju Merah di ibu negara.

Kata beliau lagi pengumuman Jamal yang popular dengan perusahaan restoran ikan bakar tersebut menunjukkan bahawa amalan politik wang dalam UMNO masih hidup subur.

“Sekiranya Jamal tidak bersedia untuk jujur tentang sumber kewangannya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia patut segera memulakan siasatan,” tegas Kula. – Roketkini.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.