Rokerkini.com
Kami telah mendengar ucapan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Saudara Mohd Razlan Rafii, dalam forum anjuran Sinar Harian semalam di Shah Alam.
Saudara Razlan mendakwa DAP tidak pernah hormat pada Melayu, malah menyebut bahawa sekiranya DAP mempunyai kuasa, ia tidak akan pernah hormat pada orang Melayu.
Kami sudah biasa dengan Sdr Razlan, yang sentiasa berkunjung ke ibu pejabat DAP hampir setahun sekali, dengan membawa rombongan kawan-kawannya. Terbaru beliau hadir membawa duit raya, berupa wang neraka dan melemparkannya ke muka pegawai ibu pejabat parti.
Sebelum itu, beliau juga pernah mengancam mahu membakar bangunan ibu pejabat parti kami.
Sebagai orang Melayu, kami dididik supaya bersopan santun, dan saling hormat menghormati antara satu sama lain, apatah lagi kepada orang yang lebih tua seperti Sdr Razlan. Maka adalah penting bagi Sdr Razlan untuk tidak dibiarkan bercakap seorang diri, justeru kami tampil menjawab kritikannya, dengan semangat demokrasi.
Sdr Razlan beruntung kerana mempunyai kulit muka yang tebal dan sanggup untuk terus menjadi pemuka United Malays National Organisation, di saat parti itu sedang diserang dari segenap sudut, termasuk oleh bekas presidennya sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kami harap pengorbanan Sdr Razlan akan mendapat balasan yang setimpal.
Pun begitu kami ingin menasihatkan Sdr Razlan agar memeriksa keadaan dan menyedari bahawa semakin ramai orang Melayu zaman sekarang yang sudah tidak makan dedak dan tahu dengan jelas bahawa selama ini UMNO lah yang telah meletakkan Melayu di bawah telapak kakinya.
Melayu di bawah UMNO kini adalah Melayu yang diternak seperti ayam daging, diberi makan dedak, biar gemuk dan sihat, sebelum nanti disembelih dengan masalah-masalah seperti cukai GST, skandal hutang 1MDB, rompakan Tabung Haji, LTAT dan KWSP, serta ancaman ekonomi yang lain termasuk risiko bangkrap angkara pinjaman PTPTN dan pinjaman isirumah yang melangit tinggi.
Ayam-ayam yang dibela UMNO ini disumbat dengan rasa takut hilang kuasa dan rasa takut kepada Cina.
Inilah Melayu yang didik UMNO, agar ia boleh diserkup dan disembelih dengan mudah, bagi melanjutkan kekuasaan elit Melayu dalam UMNO yang kenyang dengan hasil menjarah dompet dan saku rakyat.
Sdr Razlan sewajarnya sekali-sekala melihat cermin dan bertanya kepada diri sendiri, Melayu jenis apakah yang beliau sudah jadi?
Melayu pengampu kepala skandal 1MDB, atau Melayu yang mahu tegakkan kebenaran dan membela nasib bangsa Malaysia, tanpa mengira latar keturunan, agama, ekonomi dan pendidikan? Adakah Razlan mahu jadi ayam sabung, atau ayam dedak? Razlan perlu jawab soalan-soalan ini, supaya beliau tidak malu dengan anak cucu yang nanti bertanya, “Ketika negara dirompak, awak buat apa?”
UMNO lah masalahnya sekarang, dan Razlan serta juak-juaknya wajar mengikut jejak langkah Tun Dr Mahathir dan meninggalkan parti berkarat itu, ketimbang menjunjungnya sebagai parti keramat.
Barangkali Razlan akan lebih berhati-hati dalam forum semalam, sekiranya beliau tidak bercakap seorang diri, dan ada wakil anak muda Melayu DAP menjadi anggota panel. Kecewa juga kami kerana tidak menerima jemputan Sinar Harian. Mungkin Sinar pun tidak begitu sanggup menerima hakikat bahawa DAP sudah ramai anggota dan pimpinan anak muda Melayu.
Ditandatangani:
Young Syefura Othman, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor
Edry Faizal Eddy Yusof, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor
Syerleena Abdul Rashid, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang
Mohammad Firdaus Babh, Setiausaha DAPSY, Selangor
Muhammad Shakir bin Ameer Mohideen, Bendahari DAPSY Selangor
Nor Miswary Ramli, Setiausaha DAP cawangan USJ Subang Jaya
Azfar Faruqi Mohamad Idris, Pengerusi DAP cawangan Taman Seroja
Shukri Mokhtar, Ahli Jawatankuasa DAPSY Subang
Farhan Haziq, Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Subang
Numan Afifi, Setiausaha Organisasi DAPSY Subang
Ahmad Irfan Hani, Ahli DAP cawangan Bandar Utama
Izmil Amri, Ahli DAP cawangan Bangkok Lane
Muhammad Khairil Bin Khalid, Naib Pengerusi Protem DAP cawangan USJ Taipan
Dyana Sofya, Ahli Majlis Eksekutif DAPSY Kebangsaan
*Kenyataan bersama anggota muda DAP, pada hari Selasa 30 Ogos 2016 di Kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.