Rabu, 31 Ogos 2016

Seks modal Umno jatuhkan Muhyiddin, kata Anina

Bekas ahli Umno berkata parti itu akan menuduh individu yang dimusuhi terlibat skandal seks dan menyerang peribadi, sama seperti apa yang berlaku pada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

anina-muhyiddin


PETALING JAYA: Bekas Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin mendakwa parti itu sering menggunakan skandal seks sebagai modal dalam menjatuhkan pemimpin parti lain.

Anina berkata berdasarkan pengalamannya dalam Umno, beliau tahu sikap peribadi pemimpin parti Melayu itu, namun enggan mengulas lanjut kerana fokusnya hanya untuk menjatuhkan perdana menteri.

“Bagi Umno, seks ialah senjata. Mereka parti lemah yang bergelumang duit haram. Saya tidak berminat untuk bercakap tentang peribadi setiap pemimpin Umno atau sayap muda mereka.

“Fokus saya hanya kepada kejahatan perdana menteri dalam mencuri, merompak dan menyamun wang negara,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika membidas kenyataan setiausaha akhbar kepada perdana menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin yang mengaitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan skandal seks dengan seorang wanita bernama Nika Gee.

Penafian Tengku Sariffuddin itu susulan pendedahan Muhyiddin yang Datuk Seri Najib Razak menerima RM1 bilion ke dalam akaun peribadi sebelum penerimaan RM2.6 bilion didedahkan.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri berkata Muhyiddin cuba mengalihkan perhatian umum daripada kes yang melibatkannya dengan Nika Gee dalam dakwaannya terhadap Najib.

Dalam satu kenyataan, Tengku Sariffuddin turut mempersoalkan kredibiliti Muhyiddin yang menurutnya membawa imej seorang warak sepanjang karier politiknya.

Anina berkata pemimpin Umno akan membuat apa saja terhadap individu termasuk Muhyiddin apabila seseorang itu dilihat tidak sehaluan dengan pendirian mereka.

“Seseorang individu itu akan cantik di mata mereka selagi bersama Umno. Sebaik tidak lagi bersama Umno, dia akan dicaci, dilabel sejahat-jahat manusia dan musuh kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.