Bukan tidak percayakan demokrasi, namun sikap pentadbiran Datuk Seri Najib itu sendiri memaksa rakyat untuk turun ke jalan raya, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Menurut beliau, di saat negara didedahkan dengan penyelewengan terbesar negara khususnya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), rakyat pula disekat dari segenap ruang untuk mendapat kebenaran.
"Mahu atau tidak mahu, hakikatnya sikap pemerintah itulah yang memanggil rakyat turun ke jalan raya.
Apabila saluran demokrasi ditutup, pemerintah melakukan rasuah dan penyelewengan, rakyat pula tidak berupaya menukar pemerintah melalui peti undi," tegas beliau.
Mohamad menambah, rakyat mahu kebebasan memilih calon-calon yang disukai sama ada anggota majlis bandaran, ahli parlimen malahan juga presiden.
Beliau memberi contoh beberapa negara seperti Poland dan Filipina yang menyaksikan kebangkitan rakyat menamatkan pemerintahan diktator dan kuku besi.
"Di Indonesia tidak mungkin Soeharto boleh dijatuhkan kerana sebelum pilihan raya telah ada perjanjian beberapa kerusi parlimen diperuntukkan kepada pihak tentera dan ABRI (Angkatan Bersenjata Republik Indonesia).
"Saluran demokrasi, kebebasan media tidak ada. Lalu Soeharto menggunakan kekuatan bersenjata dan kekuatan tentera untuk menekan rakyat. Setiap kali pilihan raya beliau hanya mahu mendengar keputusan parti Golkar yang didokong oleh tentera mencapai kemenangan.
"Akhirnya setelah rasuah berleluasa, Soeharto mengumpul harta berbilion dolar dan menjadi antara pemimpin politik yang terkaya dalam dunia, sedangkan rakyat hidup merempat," ujarnya.
Sehubungan itu, tambah beliau mahasiswa dan rakyat bangun menolak rejim Soeharto dan perubahan demokrasi berlaku di negara jiran itu.
Indonesia kita, jelas Mohamad sedang menikmati kemajuan ekonomi hasil reformasi yang dilakukan dalam pentadbiran negara khususnya pembanterasan rasuah.
Mohamad turut membandingkan pentadbiran negara di bawah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Dr Mahathir Mohamad dan kini Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, walaupun berlaku kekangan demokrasi di era pentadbiran Tunku dan Dr Mahathir, rakyat masih diberi ruang bersuara dan menyuarakan pandangan manakala institusi-institusi awam melaksanakan tugas dengan bebas.
Keadaan ini, ujarnya berbeza di era pentadbiran Najib apabila institusi-intitusi awam dilumpuhkan.
"Apabila tembelang rasuah dalam 1MDB pecah, kerajaan mula mengambil tindakan luar biasa. Ada pihak di Jabatan Peguam Negara cuba menyiasat kes itu, peguam negara diberhentikan... Pegawai-pegawai SPRM diberi amaran, ditukar dan diberhentikan walaupun belum cukup tempoh dan masa khidmat.
"Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis, ditukar ke tempat yang bukan fungsinya sebab beliau mempertikai dan menyiasat 1MDB... Banyak lagi perkara yang meragukan kita. Ertinya institusi kerajaan mula lumpuh. Kesemua ini hanya menjadikan rakyat semakin tidak yakin dengan pilihan raya.
"Sikap kerajaan pimpinan Najib ini sengaja mengundang rakyat ke jalan raya. Rakyat mahu menyatakan pandangan mereka bahawa rakyat tidak lagi yakin dengan sistem yang ada dan mereka akan keluar ke jalan raya dengan tangan kosong untuk menolak rejim Najib atau rejim seumpama Najib," tegasnya.
Sehubungan itu beliau menyeru kepada anak-anak muda dan para pelajar agar menyertai himpunan #TangkapMO1 pada Sabtu, 27 Ogos ini sebagai satu usaha memulihkan demokrasi.
"Kita harus uar-uarkan bahawa negara kita ini sudah berada dalam keadaan parah, demokrasinya pincang, institusi kerajaannya sedang dimusnahkan oleh rejim berkuasa yang mencuri harta rakyat yang digelar oleh dunia sebagai kleptokrasi. Ayuh, selamat berjuang!" ujarnya bersemangat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.