Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Tinggal lebih kurang sebulan setengah untuk usul
Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta 355 Mahkamah Syariah
dibahaskan di Parlimen.
PAS masih mengharapkan sokongan wakil rakyat yang beragama Islam untuk
menyokong usul yang dibawa oleh presidennya Datuk Seri Abd Hadi Awang
pada sidang Dewan Rakyat Mei lalu.
Menurut Pengarah Penerangan Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Muhammad Najhan Halim, usaha memartabatkan dan meninggikan ajaran Islam
adalah tanggungjawab agama bagi setiap orang yang beriman.
"Sememangnya setiap perkara yang baik itu terdapat halangannya seperti
mana Usul Pindaan RUU Akta 355 ini yang turut mendapat tentangan
daripada beberapa pihak khasnya dari segelintir kalangan golongan bukan
Islam dan sebahagian orang Islam sendiri.
"Namun, sebagai umat Islam yang berprinsip, janganlah kita terdorong dengan mereka yang jahil dan tidak beriman.
"Sikap dan pendirian kita orang yang beriman hendaklah berpandukan
kepada petunjuk Ilahi iaitu apabila melibatkan perkara prinsip dasar
agama, maka kita mestilah berpihak kepada agama," katanya dalam satu
kenyataan media hari ini.
Malah usul ini perlu dilihat untuk menjadikan Mahkamah Syariah sebagai
salah satu institusi penting Islam yang menjadi tempat mendapatkan
keadilan yang perlu dipertingkat dan dipinda supaya sesuai dengan
keperluan semasa.
"Usul meminda Akta 355 ini seharus dan sewajibnya tidak dilihat sebagai
polemik politik atau kepartian kerana ia adalah berkait langsung dengan
hal ehwal umat Islam.
"Dengan pindaan ini, Mahkamah Syariah akan bertambah kemampuannya dan
keefektifannya dalam menangani isu perundangan umat Islam dan juga
berupaya memberi keadilan yang sepatutnya kepada pihak yang menuntut hak
mereka," ujar beliau lagi.
Hadi memohon menangguhkan usul meminda Akta 355 walaupun rang
undang-undang persendirian itu diberikan keutamaan untuk dibahaskan pada
sidang Parlimen Mei lalu.
Hadi memohon usul itu ditangguhkan ke sesi akan datang dan ia diluluskan oleh Speaker Pandikar Amin Mulia.
Beliau berkata RUU untuk meminda Akta 355 yang bertujuan membuka ruang
kepada pelaksaan hudud di Kelantan ditangguhkan bagi memberi peluang
‘masa’ kepada ahli Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.