PETALING JAYA: Bumiputera yang membeli pangsapuri perkhidmatan, Soho
dan Sovo di Selangor tidak akan menikmati potongan harga 10% lagi,
susulan pelaksanaan garis panduan pembangunan perumahan baru oleh
kerajaan negeri itu mulai Khamis ini.
Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang dipetik Nanyang Siang Pau
berkata, kuota 30% peruntukan rumah untuk Bumiputera akan dikekalkan.
Pada masa sama, katanya, kelulusan untuk membina pangsapuri
perkhidmatan, Soho dan Sovo yang dibekukan sejak 1 Januari lalu
dibatalkan, tetapi harga bagi tiga jenis hartanah itu akan ditetapkan
kerajaan negeri.
“Di bawah garis panduan perumahan mampu milik, harga tertinggi untuk
pangsapuri perkhidmatan ialah RM270,000 di kawasan A, manakala RM250,000
untuk kawasan B.
“Soho dan Sovo pula berharga RM230,000 setiap unit. Perumahan mampu
milik ini terbuka kepada golongan berpendapatan rendah tanpa mengira
kaum,” katanya kepada akhbar berbahasa Cina itu.
Beliau berkata, pendapatan isi rumah pemohon juga dinaikkan daripada RM8,000 sebelum ini kepada tidak lebih RM15,000.
“Bagaimanapun, pembeli dengan pendapatan isi rumah kurang daripada
RM10,000 akan didahulukan. Jika mereka gagal mendapatkan pinjaman, baru
ia akan dibuka kepada keluarga berpendapatan lebih RM10,000,” katanya.
Beliau berkata, butiran lanjut mengenai garis panduan pembangunan
perumahan baru itu yang diluluskan mesyuarat exco dua minggu lalu akan
diumumkan 1 September ini.
“Kerajaan Selangor sudah berbincang dengan persatuan pemaju perumahan
negeri dan mengkaji cadangan dikemukakan mereka sebelum memperkenalkan
garis panduan baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.