BERIKUT posting terbaharu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di blog beliau, chedet.cc
Posting berjudul "Pemimpin Umno" dimuat naik hari ini:-
1. Bilakah pemimpin Umno akan mengakui kebenaran tuduhan yang dibuat terhadap Najib?
2. Sejak mula skandal 1MDB didedah, pemimpin-pemimpin Umno cuba menidakkan tuduhan terhadap Najib.
3. Kononnya semua tuduhan ini berniat jahat – bertujuan untuk menjatuhkan seorang pemimpin yang dipilih secara demokratik. Mereka sengaja lupakan bahawa Datuk Abdullah, PM Malaysia Kelima juga dipilih secara demokratik tetapi dijatuhkan oleh Najib sendiri.
4. Dalam negara demokratik banyak sudah pemimpin yang dipilih dalam pilihan raya yang dijatuhkan sebelum edahnya. Demikian PM Abbott Austraila. President Brazil digantung jawatan atas keputusan mahkamah tinggi supaya siasatan dapat dibuat keatasnya tanpa halangan.
5. Sekarang ini pula tuduhan dibuat bahawa saya yang membuat laporan terhadap Najib kepada Amerika Syarikat sehingga laporan berkenaan salah guna kuasa dan melesapkan wang Kerajaan dibuat oleh pasukan keadilan Amerika terhadap Najib.
6. Saya tidak buat apa-apa laporan. Tetapi jika saya buat laporan pun, hanya kerana itu kesalahan Najib tidak akan menjadi tidak salah.
7. Benang basah tidak mungkin ditegak. Percubaan pemimpin-pemimpin Umno mendakwa Najib tidak bersalah tidak mungkin menjadikannya tidak salah. Tuduhlah, kecamlah, makilah. Yang salah tetap salah.
8. Sejak skandal 1MDB didedah, bukti-bukti salah guna kuasa dan penipuan Najib menjadi semakin nyata. Bermula dengan laporan dalam akhbar, ia diikuti dengan laporan oleh Bank Negara, BPR, Auditor General dan PAC. Tiap satu menerangkan kesalahan Najib. Menjadikan laporan-laporan ini rahsia pemerintah tidak berjaya menutup isi kandungan laporan.
Di zaman ini tidak ada cara bagi merahsiakan dokumen. Sarawak Report melapor berkenaan wang yang ada dalam akaun Najib di Ambank yang disertai dengan dokumen-dokumen yang tidak boleh disangkal. Najib tidak dapat membuat apa-apa, jauh sekali dari menyaman malu Sarawak Report.
9. Akhirnya Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat bukan sahaja mengeluarkan laporan bertulis tetapi penjelasan dibuat secara terperinci oleh pegawai-pegawai DOJ melalui TV. Malaysia sudah jadi negara penipu dan rasuah yang terbesar di dunia. Semua orang berasa malu tetapi pemimpin Umno sahaja yang tidak tahu malu.
10. Walaupun nama Najib tidak dicatit tetapi semua tahu bahawa Malaysian Official 1 (Pegawai Malaysian Nombor 1) ialah Najib. Hanya yang bangang sahaja yang tidak kenal Najib sebagai Pegawai Malaysia Nombor 1. Dan mereka sahaja yang masih sanggup menerima Najib sebagai pemimpin mereka.
11. Wahai pemimpin Umno berhentilah dari menipu diri. Kamu tahu Najib bersalah. Kamu tahu Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia.
12. Merahsiakan segala laporan berkenaan dengan kesalahan Najib melalui OSA mungkin mengelirukan sebahagian kecil dari rakyat Malaysia. Tetapi OSA tidak boleh rahsiakan perbuatan Najib di kalangan masyarakat dunia. Kamu, pemimpin UMNO akan dipandang hina kerana masih mencuba menidakkan penipuan Najib dalam pengurusan 1MDB.
13. Kerajaan sekarang menghadapi kekurangan dana. Untuk menampung beban hutang 1MDB rakyat dipaksa bayar cukai GST, tol dinaikkan, subsidi minyak dihapuskan, Langkawi dan Labuan sebagai pulau bebas cukai ditamatkan. Bajet yang besar dibuat tetapi Kementerian, Jabatan dan Agensi-Agensi Kerajaan diarah supaya mengurangkan belanja sebanyak 20 peratus. Bayaran kontrak dilewat-lewatkan.
14. Untuk membayar hutang 1MDB, tanah Kerajaan yang bernilai RM7,000/- skp dibeli dengan harga RM60/- skp dan dijual dengan harga RM 3,500 skp.
15. Sekarang laporan akhbar luar mendedahkan kontrak membina landasan keretapi di pantai timur yang ditawar oleh syarikat Cina sebanyak RM30 billion dinaikkan kepada RM60 billion, supaya lebihan dari harga kontrak sebanyak RM30 bilion boleh diguna untuk bayar hutang jaminan RM27 bilion yang dituntut oleh IPIC, Abu Dhabi.
16. Hutang 1MDB boleh dibayar secara ini. Tetapi wang yang dilesapkan melalui 1MDB masih berada di tangan orang yang diketahui melesapkannya. Jenayah ini masih perlu ditangani melalui proses undang-undang. Dengan perkataan lain, walaupun hutang dibayar oleh Kerajaan, penjenayah yang menghilangkan duit 1MDB tidak terlepas dari dituduh dan dibicara dalam mahkamah.
17. Pemimpin-pemimpin Umno perlu sedar akan hakikat ini dan mendesak supaya proses undang-undang dikuatkuasakan. Jika tidak kamu mungkin dianggap sebagai bersubahat dalam perlakuan jenayah ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.