Isnin, 1 Ogos 2016

Fara Fauzana nikah 17 September ini

Fara Fauzana
Fara Fauzana. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
 
 

SELEPAS berita mengenai perkahwinannya tersebar, hos dan bekas penyampai radio popular, Fara Fauzana akan mendirikan rumah tangga 17 September depan.

Menerusi sidang media yang diadakan di Dewan Mustapha Kamal, Neo Damansara, Fara, atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohamad Fadzil, 36, berkata, majlis akad nikah dan resepsi pernikahan akan diadakan di lokasi sama.

“Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Dia bersama keluarga datang berjumpa saya pada Februari lalu dan kami akan menikah pada jam 9 pagi di sini, diikuti resepsi pernikahan pada jam 12 tengah hari.

“Kedua-dua majlis ini akan dihadiri oleh kaum keluarga dan sahabat terdekat,” katanya.

Menceritakan detik pengenalan dengan lelaki yang dikenali sebagai Hafiz ini, Fara berkata, segalanya diaturkan oleh sahabat baiknya dalam satu pertemuan di sebuah majlis.

Katanya, sikap bertentangan Hafiz dengan dirinya membuatkan dia selesa bersama lelaki itu.

“Keperibadian dia telah berjaya menawan hati saya. Dia mempunyai pengetahuan agama yang baik, pemalu, pendiam, penyabar, pandai masak.

“Pendek kata ia bertentangan dengan saya. Sebab itulah saya selesa bersama dengan dia,” katanya yang menegaskan lelaki tersebut masih lagi bujang.

Tambah Fara, dia dan teman lelakinya itu belum lagi berbincang mengenai kerjaya Fara selepas ini.
Bahkan dia tidak pasti sama ada Hafiz mengetahui bahawa dia seorang selebriti mahupun tidak.

“Kalau jumpa kami selalu bincang mengenai makanan sahaja (ketawa). Jadi saya tidak pasti lagi mengenai kerjaya saya selepas ini.

“Tapi di pihak saya, saya tidak ada masalah meneruskan karier saya seperti biasa,” katanya.

Berkongsi mengenai persiapan majlisnya nanti, Fara berkata, persiapan sudah berlangsung lebih 60 peratus dan dia akan mengayakan rekaan Rizalman pada hari bahagianya nanti.

“Insya-Allah majlis bertandang akan diadakan seminggu selepas itu, bagaimanapun saya masih tidak tahu perinciannya lagi.

“Bagaimanapun ia akan diadakan di sekitar Lembah Klang, memandangkan dia adalah orang Shah Alam,” jelasnya.

Berita mengenai majlis perkahwinan Fara mula bertebaran sejak beberapa hari lalu, setelah wakil Fara mula mengedarkan jemputan RSVP by Fara Fauzana.

Ujar Fara, dia tiada niat untuk mensensasikan majlis perkahwinannya dan membuat sidang media ini bagi memudahkan semua pihak termasuk media.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.