Sabtu, 27 Ogos 2016

Ditipu RM15,000 tapi Ameng pasrah halalkan

MALAYSIAKINI


Vokalis kumpulan Spring, Ameng, pasrah menghadapi kerugian bernilai RM15,000 yang sepatutnya diterima sebagai imbuhan membuat persembahan.

Walaupun jumlah itu agak banyak, Ameng juga mengambil sikap 'menghalalkan' wang berkenaan walaupun penganjur program yang disertainya tidak meminta maaf kerana memberikan cek tendang kepadanya.

Ujian itu dihadapi Ameng, 48, tidak lama selepas dia bebas daripada tahanan penjara dan bergelut untuk memulakan hidup baru bersama isteri dan anak mereka.

“Kejadian itu membabitkan persembahan makan malam dan sambutan hari raya di Kuantan untuk sebuah majlis korporat.

“Lebih menyedihkan penganjur terbabit datang membuat perjanjian ketika saya masih dalam penjara.

“Perkara ini amat menjejaskan emosi terutama di saat saya amat memerlukan duit ketika itu kerana baru hendak memulakan hidup,” katanya yang ditemui pada sidang media pengumuman Konsert 3 Suara di Istana Budaya semalam.

Ameng atau nama asalnya Wan Aminuddin Wan Ismail dibebaskan dari Penjara Kluang pada 14 Jun lalu selepas menjalani hukuman selama lima tahun empat bulan atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah.

Penyanyi Bourgenvilla itu pada awalnya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011.

Bagaimanapun, hukuman itu dikurangkan ekoran kelakuan dan disiplin cemerlang ditunjukkannya dalam tempoh tahanan.

Hilang duit diganti pahala

Hasil perkongsian hidup Ameng bersama pasangan kedua Sabariah Zakaria, 46, mereka dikurniakan anak Wan Ammar Haikal yang kini berusia sembilan tahun.

Di kehidupan sebelum itu, Ameng pernah berkahwin - dan bercerai dengan penerbit drama Datuk A Aida. Mereka memiliki dua anak perempuan Wan Az Aleesa dan Wan Azevanatassha.

Menurut Ameng, dia sanggup menerima tawaran berkenaan kerana berasakan ia adalah peluang terbaik untuk membina semula kehidupan yang pernah musnah disebabkan dadah.

“Menjadi banduan ibarat orang hampir mati kelemasan. Seseorang itu akan berpaut pada apa saja walaupun pada sehelai daun yang diibaratkan sebagai kayu di atas air.

“Begitulah diri saya ketika itu, datang saja satu tawaran tanpa usul periksa ia terus diterima,” katanya.

Biarpun tanpa memberi sebarang alasan kukuh mengenai wang terbabit yang masih hingga kini belum dilunaskan pembayarannya, Ameng mengakui sudah "malas" untuk meminta-minta lagi.

Pada masa sama, Ameng tidak pula terdetik di hati untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa memandangkan jumlah wang ditipu bukan sedikit.

Alasannya, Ameng berasa kasihan melihat penganjur yang sudah berkeluarga.

“Biarlah hal yang menimpa itu menjadi urusan antara dia dan Allah, lagi pula saya simpati melihat keluarganya.

“Saya mahu mengambil positif daripada kejadian menimpa malah menganggapnya ada kebaikan mahu ditunjukkan Allah.

“Saya berhasrat mahu melupakan hal terbabit, mungkin Allah hilangkan duit kita tetapi sebenarnya Dia mahu memberikan pahala,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.