Roketkini.com
PONTIAN: DAP bakal menghadapi laluan sukar untuk merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada cengkaman Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang jika gagal mengubah pendekatannya dalam menangani masalah dan persepsi masyarakat setempat.
Justeru, Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim berpendapat bahawa semua pihak perlu bekerja keras dalam menyusun strategi bagi menawan hati rakyat dengan menangani secara serius permasalahan yang dihadapi mereka sama ada di peringkat tempatan mahupun nasional.
“Pendekatan menghentam (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), harus dilakukan secara bijak dan berhati-hati sungguhpun kaum Melayu sudah semakin memahami isu sebenar di sebalik skandal memalukan itu.
“Jika kita dapat membawa mesej yang lebih murni yang mudah diterima masyarakat berkaitan kebejatan skandal 1MDB, sasaran 30 peratus sokongan kaum Melayu tidak mustahil untuk dicapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, usaha berkenaan tidak akan membawa apa-apa makna jika BN meletakkan calon dari parti terbesar kaum Melayu, UMNO untuk bertanding di kawasan itu pada PRU akan datang.
“Umum mengetahui bahawa pada PRU-13 yang lalu, wakil MCA diselamatkan oleh undi dari kaum Melayu khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup.
“Jika perubahan ini berlaku, peluang DAP untuk merampas kerusi Parlimen dari calon parti UMNO, agak tipis.
“Sasaran 30 peratus sokongan pengundi Melayu akan menjadi lebih sukar dicapai berdasarkan majoriti nisbah pengundi kaum Melayu di kawasan Parlimen tersebut lebih tinggi berbanding kaum lain.
“Kelebihan ini pastinya akan digunakan oleh UMNO untuk mengelak daripada dimalukan di Tanjung Piai. Ini faktor yang tidak dapat dikawal oleh DAP,” katanya.
Sehubungan itu, Mahdzir berkata jentera pilihanraya DAP khususnya di Tanjong Piai perlu menumpukan usaha untuk memperkukuhkan strategi kempen di peringkat akar umbi bagi memastikan sokongan 30 peratus pengundi kaum Melayu berjaya dicapai.
“Seperti yang dianalisa oleh Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, kerusi Parlimen Tanjung Piai memerlukan tambahan purata sekitar 10 peratus undi untuk memastikan kerusi tersebut beralih kepada DAP dan Pakatan Harapan.
“Berdasarkan jumlah undi pada PRU-13, jika perubahan 10 peratus undi yang bersamaan dengan sekitar 4,000 undi kepada DAP berlaku, maka MCA akan kehilangan kerusi tradisi tersebut,” katanya.
DUN Kukup dan Pekan Nenas yang terletak dalam Parlimen Tanjung Piai dianggap sebagai kubu kuat DAP. Pada PRU-13, Mahdzir yang memperoleh 19,581 undi tewas kepada pencabarnya dari MCA, Wee Jeck Seng yang memperoleh 25,038 undi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.