Ahad, 28 Ogos 2016

Ahli 50-50 patut keluar Umno segera - Idris Haron

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic



KLANG: Ahli yang mendakwa menyokong Umno tetapi tidak menyokong presiden, tidak sepatutnya berada dalam parti ini dan wajar berundur dengan segera, tegas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Idris Haron.

Ini kerana menurut Idris, golongan berkenaan boleh disifatkan sebagai ahli 50-50, yang hanya akan merosakkan kesatuan parti.

Ujarnya, adalah penting untuk mempunyai ahli yang menunjukkan kebersamaan di dalam satu 'kapal' khususnya dalam mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

"Ahli yang 50-50 ini tak boleh ada dalam parti kerana dia akan merosakkan kesatuan dan kesepaduan parti. Itu kita tak mahu. Untuk menyokong parti, anda mesti menyokong presiden. Tak bolehlah mengatakan sokong parti tetapi tidak sokong presiden. Itu mengarut dan tak masuk akal.

"Ahli yang mahu bersama kita, anda mesti sokong keseluruhan institusi (parti) termasuk presiden dan semua struktur parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Klang, semalam.

Ketua Menteri Melaka itu juga meminta ahli parti agar tidak terpengaruh dengan dakwaan sesetengah pihak yang cuba mengganggu gugat institusi presiden parti.

"Umno bukan parti yang pentingkan diri sendiri. Dah berapa presiden Umno, kita tak ada satu presiden yang seorang sampai sekarang. Penggantian berlaku secara sistematik, tak ada rampasan kuasa dalam Umno.

"Jangan terpengaruh dengan cerita yang dibawa orang tidak menentu. Di depan kita ini adalah kemakmuran ekonomi. Kemakmuran ekonomi tidak datang dengan secara tiba-tiba, ia datang dengan keadaan strategik di mana kestabilan politik dan keseimbangan sosial.

"Kalau pemimpin kita tak bijak, boleh ke sampai ke tahap hari ini. Imej negatif dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, hanya kerana untuk merosakkan apa yang kita bina selama ini," katanya lagi.

Malah katanya, tidak ada pihak dapat mempertikaikan peranan Umno yang berjuang untuk agama, bangsa dan negara, sehingga rakyat dapat menikmati kemakmuran ekonomi sebagaimana hari ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.