Hafiz Yatim
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini berkata, beliau
telah diberikan kuasa oleh perdana menteri (Najib Abdul Razak) pada
tahun 2012 untuk merahsiakan apa-apa dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi
(OSA).
Ini termasuk Laporan Akhir 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dikemukakan pada bulan Mac tahun ini.
Ambrin memberi keterangan dalam perbicaraan jenayah yang membabitkan
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang didakwa di bawah Akta Rahsia
Rasmi 1972.
Ambrin menambah, ekoran kebocoran maklumat dalam laporan interim 1MDB
yang diklasifikasikan sebagai terhad, ia telah menjangka laporan penuh
juga boleh bocor.
"Kami telah meminta nasihat daripada Jabatan Keselamatan kerajaan
yang telah dinasihatkan supaya ia dikelaskan sebagai dokumen rahsia.
"Ini supaya PAC dapat jalankan prosidingnya tanpa gangguan luar dan menjaga keutuhan Jabatan Audit Negara sendiri.
"Kami mengikut nasihat dan prosedur bagi laksanakan pengkelasan
tersebut," kata Ambrin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohd Abazafree Mohd Abbas
mengenai siapa yang mengelaskan dokumen tersebut, Ambrin berkata,
beliau telah diberikan kuasa di bawah Akta Rahsia Rasmi.
DPP: Siapa beri kuasa tersebut?
Ambrin : Kuasa itu diberi oleh perdana menteri pada bulan Januari
2012, sijil ada di pejabat saya, sijil pelantikan dirujuk di bawah
Seksyen 2B Akta Rahsia Rasmi diberikan.
Sehubungan itu, beliau menyenaraikan Laporan Audit Akhir 1MDB di bawah rahsia rasmi dan didaftarkan dengan pendaftar OSA.
Ketua Audit Negara yang merupakan saksi pendakwaan kelima dalam
perbicaraan itu menekankan banyak kali semasa perbicaraan bahawa mereka
terpaksa mengambil jalan keluar dalam mengklasifikasikan Laporan Akhir
1MDB di bawah OSA ekoran kebocoran laporan interim yang diserahkan
kepada PAC pada bulan Julai tahun lalu.
Di bawah Seksyen 2B, OSA menyatakan seorang menteri, menteri besar
atau ketua menteri sesebuah negeri boleh melantik mana-mana penjawat
awam melalui suatu perakuan di bawah tandatangannya untuk mengelaskan
apa-apa dokumen, maklumat atau bahan rasmi sebagai 'Rahsia Besar',
'Rahsia','Sulit' atau 'Terhad' mengikut mana yang berkenaan.
Laporan penuh 1MDB telah dibentangkan kepada PAC pada bulan Mac 2016
sementara laporan interim yang dikelaskan sebagai terhad telah dibuat
pada bulan Julai 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.