Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
KUALA LUMPUR: PKR mendakwa keterbukaan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar
Ibrahim terhadap idea penubuhan parti baru tajaan Tun Dr Mahathir
Mohamad sebagai satu usaha membawa agenda reformasi yang lebih besar.
Naib Presidennya, Shamsul Iskandar Md Akin menyambut baik reaksi
pemimpin nombor satu parti itu sambil menegaskan Anwar merestui
kerjasama yang akan dijalin parti itu dengan pihak Mahathir.
"Saya fikir dari awal lagi Anwar sentiasa konsisten dengan agenda
reformasi dan perubahan. Sebab itu saya beranggapan kenyataan terkini
beliau tentunya dibuat dalam aspek mengangkat agenda reformasi itu
kerana pada hemat dan pandangan beliau.
"Dari apa yang kita faham bahawa parti baru yang mungkin digagaskan
oleh Muhyiddin dan pasukannya yang dipecat dari Umno, tentu komited
untuk membawa agenda perubahan dan reformasi institusi termasuk ikhtiar
untuk menukar kerajaan dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang,"
katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Parlimen Lembah Pantai,
di Bangsar, malam tadi.
Mahathir pada minggu lalu mengumumkan bakal menubuhkan sebuah parti
baru dan akan menjadi sebahagian komponen dalam gagasan pembangkang demi
mendepani Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Bekas perdana menteri itu bagaimanapun menyatakan tidak terlibat secara
langsung dalam struktur parti itu, sebaliknya dikatakan bakal didokong
oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri
Mukhriz Mahathir.
Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam pengumuman berkenaan dan
menyambut baik idea terbaru Mahathir itu, sebagaimana sokongan mereka
terhadap Deklarasi Rakyat sebelum ini yang digerakkan untuk menyingkir
kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Anwar, dalam reaksinya terhadap parti baru Mahathir itu menyatakan
bahawa beliau terbuka dalam sebarang kerjasama asalkan ia membawa
manfaat kepada rakyat.
Namun berbeza dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
yang dilihat seolah-olah menjarakkan diri dalam penglibatannya bersama
usaha Mahathir, walaupun memberitahu partinya mengalu-alukan kerjama
memulihkan tata keloka pentadbiran negara.
Iskandar bagaimanapun mengambil sikap berbeza dengan Wan Azizah apabila
menyifatkan kerjasama sedemikian bukanlah satu masalah buat PKR.
"Saya tidak nampak kerjaasama itu sebagai satu masalah sebab dari segi
pendirian PKR tidak pernah membuat keputusan tiada kerjasama dengan
mana-mana pihak.
"Misalnya mengapa kita bersetuju untuk hadir dan menandatangani
Deklarasi Rakyat sebab ada agenda jelas untuk membaa reformasi
institusi. Sesiapa yang bersama kita alu-alukan tidak kisah parti yang
baru, yang sedia ada atau parti yang hendak bangkit semula," ujar Ahli
Parlimen Bukit Katil itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.