Selasa, 26 Julai 2016

Pemilik kapal tunda tidak dengar nasihat polis - Khalid

 
 
Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar
 
 
Pemilik kapal tunda yang tinggal di kawasan merbahaya di pesisiran pantai diminta bekerjasama dengan polis untuk menangani sebarang insiden penculikan atau ancaman keganasan di perairan Sabah.
 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lima anak kapal warga Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Lahad Datu baru-baru ini tidak bersalah, sebaliknya pemilik kapal tunda terbabit yang harus dipersalahkan.
 
Katanya, ini kerana pemilik kapal tunda itu tidak mengendahkan nasihat dan saranan polis seperti yang dibincangkan bersama sebelum ini.
 
"Sebeluk ini kita bincang dengan mereka dan menyarankan berkomunikasi dan kekal berhubung dengan polis.
 
"Saya sedih dan kecewa mereka tidak mengendahkan arahan kami sehingga kita menyaksikan satu lagi insiden penculikan," katanya pada majlis perasmian Persidangan Polis ASEAN (Aseanapol) ke-36 di sini hari ini.
 
Majlis tersebut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Khalid bagaimanapun tidak mengulas mengenai perkembangan terbaharu usaha mengesan lima krew kapal tunda itu.
 
Tiga krew yang diculik itu dikenalpasti berasal dari Sabah ialah Abd Rahim Summas, 62, Mohd Zumadil Rahim, 23 dan Fandy Bakran, 26.
 
Seorang berasal dari Sarawak  ialah Tayudin Anjut, 45, manakala Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Semenanjung.
 
Sementara itu, Khalid mengingatkan mereka yang tinggal di pesisiran pantai Sabah supaya memaklumkan kepada polis ketika keluar ke laut bagi membolehkan langkah-langkah keselamatan tambahan diambil. - MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.