Selasa, 26 Julai 2016

'Malaysian Official 1' jelas merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak

ARIF ATAN
 
 
Khalid (kanan) di rumah terbuka raya Malaysia DatelineKhalid (kanan) di rumah terbuka raya Malaysia Dateline


Tidak ada kekaburan lagi siapa sebenarnya 'Malaysian Official 1' seperti dinyatakan dalam dokumen saman oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS), tegas Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

"Segala ciri yang disebut berkaitan skandal berbilion ringgit dana 1MDB (1Malaysia Development Berhad) yang dicuri itu jelas mengarah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Presiden Umno itu telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan sengaja dan terancang merompak kekayaan negara melalui penubuhan 1MDB sebagai syarikat yang kononnya membawa pelaburan ke Malaysia," ujarnya.

Beliau berkata, penyelewengan lebih AS$3.5 bilion (RM14.16 bilion) dana 1MDB sejak 2009 hingga 2015 itu bukti betapa parahnya jenayah rasuah dan pengubahan wang haram oleh pihak pemerintah di Malaysia.

"Inilah yang dikatakan kleptokrasi iaitu apabila pemimpin menipu rakyat untuk mengkayakan dirinya sendiri. Sekarang, satu dunia tahu Najib adalah pemimpin Malaysia yang telah menipu dan menindas rakyat," tegasnya ketika ditemui selepas jamuan Aidilfitri Malaysia Dateline di Kota Damansara, Selangor semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap kesedaran dan usaha untuk menukarkan Najib sebagai Perdana Menteri perlu ditingkatkan khususnya daripada seluruh Ahli Parlimen BN juga semestinya pembangkang.
Tiada penafian

Mengulas sedutan laporan Ketua Audit Negara berkenaan siasatan ke atas 1MDB yang didedah oleh _Sarawak Report_ , Khalid berkata, tidak wujud apa yang dipanggil khianat sehingga menjejaskan keselamatan negara seperti didakwa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

"Sepatutnya, laporan siasatan itu dibentang di Parlimen untuk kita mencari penyelesaian hutang melambung yang ditanggung 1MDB. Rakyat mahu tahu perkara sebenarnya. Ini tidak. Boleh pula diklasifikasi sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

"Rakyat Malaysia yang bijak dan boleh berfikir rasional yakin apa yang dibongkar oleh _Sarawak Report_ itu sama seperti yang terkandung dalam laporan (Ketua Audit Negara) itu sebabnya tiada penafian yang sewajarnya daripada pihak kerajaan," tambahnya lagi.

Untuk rekod, dokumen saman sivil yang diumumkan Peguam Negara AS, Loretta E Lynch pada 20 Julai lalu itu mendakwa sebanyak AS$731 juta disalurkan dari 1MDB ke dalam akaun bank milik 'Malaysian Official 1' (Pegawai Malaysia 1).

Tanpa menyatakan nama sebenar individu yang terbabit dengan dana yang diubah secara haram melalui AS itu, _'Malaysian Official 1'_ hanya disebut sebagai pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang turut memegang jawatan berkuasa dalam 1MDB.

Selain itu, saman berkenaan salah guna dana syarikat milik Kementerian Kewangan itu juga menyenaraikan anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz serta ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang sebelum ini kerap dilihat berada bersama-sama Najib dan Rosmah.

Turut dinyatakan adalah dua pegawai kerajaan Abu Dhabi iaitu Khadeem Abdulla al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

AS dalam tuntutannya mahu merampas 17 aset antaranya hartanah mewah di Beverly Hills, California dan New York selain jet peribadi dengan dua enjin Rolls Royce serta dua lukisan Claude Monet.

Kesemua aset berkenaan dengan jumlah keseluruhan bernilai lebih AS$1 bilion didakwa dibeli menggunakan dana milik 1MDB pada ketika Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Sekurang-kurangnya tujuh negara di dunia seperti Singapura dan Switzerland turut menyiasat penyelewengan dana 1MDB termasuk membayar perbelanjaan perjudian di kasino Las Vegas dan membiayai produksi filem Hollywood.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.