Baginda bertitah, terdapat ahli politik yang menggunakan masjid di Selangor untuk menjalankan aktiviti politik mereka.
“Apa yang lebih mendukacitakan lagi ialah ahli politik yang terlibat bukannya beragama Islam…ini secara terang-terangan menyalahgunakan institusi masjid untuk faedah ahli politik berkenaan.
“Jika perlu, perkhidmatan nazir yang terlibat hendaklah ditamatkan dan ditukar kepada orang lain,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Kampung Johan Setia.
Baginda turut berbuka puasa bersama rakyat dan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 295 asnaf, fakir dan miskin serta 148 mualaf.
Sultan bertitah baginda memandang serius perkara itu dan menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meneliti, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.
Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya membayar zakat fitrah mereka menerusi amil-amil lantikan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Baginda bertitah, perkara itu penting bagi mengelakkan individu tidak bertanggungjawab atau ejen kutipan dari negeri lain mengambil kesempatan membuat kutipan zakat di Selangor.
Sultan Sharafuddin turut menyeru rakyat Selangor tidak terpengaruh dengan fitnah mempertikaikan kewibawaan LZS sebagai institusi zakat negeri sepertimana disebarkan menerusi media sosial.
“LZS yang diamanahkan untuk mengutip dan mengagihkan zakat adalah sebuah agensi yang telus,” titah baginda.
Masjid Kampung Johan Setia yang dirasmikan semalam dibina atas tanah seluas 6.47 hektar dengan kos RM8.5 juta serta mampu menampung 2,000 jemaah pada satu-satu masa.
Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih bersama penduduk setempat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.