Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani W. M. Azhar
PASIR PUTEH: Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) meminta agar Ahli Parlimen
beragama Islam menyokong pembentangan usul Rang Undang-Undang (RUU)
Persendirian untuk meminda Akta 355 yang dijangka dibentangkan pada
sidang Dewan Rakyat, Oktober depan.
Ketua DUPP, Datuk Mahfodz Mohamed itu berkata, tidak ada sebab mengapa
Ahli Parlimen berkenaan menolak usul yang hanya mahu mempertingkatkan
bidang kuasa Mahkamah Syariah, dan bukan bersabit pelaksanaan hudud.
"Kita minta semua wakil rakyat terutama Islam dan bukan Islam, dan kita harap-harap dapat sokongan majoriti mudah.
"Kalau takut sangat dengan hudud, kita tak bentangkan hudud, kita hanya
meningkatkan martabat mahkamah (syariah). Jadi tidak ada sebab mengapa
orang Islam tak sokong sebab ia (bidang kuasa Mahkamah Syariah) ada
sebelum merdeka.
"Kalau dulu contohnya, semua hukuman dalam Mahkamah Syariah hanya
RM500, kemudian naik kepada RM1,000 kemudian RM3,000. Jadi semua akta
menghadapi perubahan, ada sesetengahnya memakan masa yang lama, ini
lebih dari sepuluh tahun. Tapi akta yang lain kadang dua atau tiga bulan
(saja pinda) jika tak sesuai. Kita harap kepada ahli Parlimen kerana
kita dah terangkan kepada orang ramai mengenai pindaan itu," katanya
kepada pemberita selepas perasmian Muktamar Tahunan DUPP kali ke-55 di
sini, malam tadi.
Tambahnya, kekaburan berhubung akta itu menyebabkan ramai berpandangan
ia adalah berkaitan hudud, sedangkan hukum jenayah syariah itu
memerlukan sokongan dua pertiga dewan sebelum diluluskan.
"Kalau pun dinaikkan nanti dari segi hukuman itu, maknanya akan setara
dengan mahkamah sesyen. Jadi tak ada melibatkan apa-apa. Sebab itu kita
buat usul.. kalau kelulusannya hanya perlu majoriti mudah, bukan dua
pertiga. Jika mahu laksana hudud barulah dua pertiga (sokongan),"
ujarnya.
Khamis lalu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan RUU
Persendirian bagi meminda Akta 355, yang mana menyaksikan ia mendapat
bantahan daripada parti politik lain khususnya MCA, MIC dan Gerakan.
Malah kepimpinan parti-parti berkenaan mengugut untuk melepaskan
jawatan masing-masing sekiranya kerajaan meluluskan enakmen berkenaan di
Dewan Rakyat.
RUU berkenaan bagaimanapun ditangguhkan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan
Sri Pandikar Amin Mulia setelah Hadi meminta agar semua Ahli Parlimen
diberi masa untuk meneliti isi kandungannya sebelum ia dibahaskan sidang
akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.