Rabu, 1 Jun 2016

Perwakilan PAS Selangor dakwa Dr Rani 'mesra' PAN?

Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani W. M. Azhar
Post Pic
 
 
PASIR PUTEH: Perwakilan Selangor, Nik Bakri Nikmat menggesa Dewan Ulama PAS agar campur tangan dalam soal pemilihan Dr Abdul Rani Osman sebagai calon mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, 18 Jun nanti.
 
Tidak menyatakan sebab secara jelas, tetapi Nik Bakri seolah menyifatkan Abdul Rani yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor sebagai 'mesra' Parti Amanah Negara (PAN).
 
Ujarnya, pemilihan Abdul Rani sebagai calon dibimbangi akan menjadi pertandingan di antara 'harum manis lawan harum manis'.
 
Istilah 'harum manis' merujuk kepada parti serpihan PAS yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin profesional parti Islam itu selepas kalah pada pemilihan tahun lalu.
 
"Selangor rasa kalau boleh Dewan Ulama ambil ketegasan berkaitan dengan calon.. Mungkin Selangor ada terasa mungkin ada lagi unsur-unsur pemilihan calon yang guna kaedah pencuri lawan pencuri. Atau harum manis lawan harum manis.
 
"Sepatutnya kita patut jelas bahawa pimpinan kita sama ada ulama atau profesional. Kita terima dan terbuka profesional jadi pimpinan di Selangor. Tapi kita nak profesional yang tulen bukan cetak rompak dalam PAS," katanya ketika sesi perbahasan Ucap Utama Dewan Ulama, di sini hari ini.
 
Abdul Rani yang juga ADUN Meru diumumkan sebagai calon PAS pada PRK Sungai Besar 18 Jun ini.
 
Pengisytiharaan beliau itu diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Markaz Pas, Simpang Lima, Sungai Besar 27 Mei lalu.
 
Abdul Rani akan bersaing dengan calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi yang juga ADUN Sungai Panjang.
 
Dalam masa yang sama, Pakatan Harapan akan mengumumkan calon mereka bagi kerusi itu malam ini.
 
Desas desus sebelum ini menyebut Presiden PAN, Mohamad Sabu akan diletakkan sebagai calon mewakili pakatan berkenaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.