Selasa, 28 Jun 2016

PAS tak pernah ada perjanjian dengan Umno

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS menafikan ada mengikat perjanjian dengan Umno seperti yang didakwa Datuk Seri Muhkriz Mahathir berkaitan pe­nyerahan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).
 
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  menegaskan bahawa dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali dan tidak boleh dipercayai.
 
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, sepanjang beliau menjadi Presiden  PAS, perkara itu tidak pernah dibincangkan antara ke­dua-dua parti dan PAS hanya akan bertanding dalam PRU-14 untuk mendapatkan negeri-negeri ber­kenaan.
 
“Berita palsu (tentang penyerahan negeri-negeri itu). tidak ada perjanjian dan kita tidak pernah berbincang.
 
“ PAS hanya akan bertanding (dalam PRU-14) untuk dapatkan negeri-negeri itu,” katanya selepas menyampaikan kuliah Zuhur di Ibu Pejabat Agung  PAS petang semalam.
 
Terdahulu bekas Menteri Besar Kedah itu mendakwa perjanjian antara Umno-PAS dipercayai wujud untuk membahagi negeri-ne­geri berkenaan di bawah pemerintahan PAS selepas PRU-14.
 
Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sanggup bersekongkol dengan DAP bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 
Abdul Hadi berkata, PAS menolak cara sedemikian kerana ia berbeza dengan tujuan PAS untuk membuat perubahan kepada negara dan bukannya menukar individu semata-mata.
 
Beliau berkata, PAS tidak akan menggunakan pengaruh DAP untuk mendapatkan sokongan ke atas sebarang gerakan bagi menjatuhkan pemimpin, sebaliknya parti itu mempunyai cara penyelesaian Islam yang diguna pakai sejak sekian lama.
 
“Berlainan dengan tujuan PAS (menjatuhkan pemimpin). Tujuan PAS untuk membuat perubahan negara sejak dahulu lagi dan bukannya tukar individu.
 
“Kita tidak terima penyelesaian DAP kerana kita adalah Islam. Terpulang kepada Dr. Mahathir kerana ini demokrasi. Tetapi bagi PAS akan terus istiqamah dengan pendekatan Islam,” katanya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.