Tiga reformasi kabinet;
1) Mengecilkan jumlah menteri di Jabatan Perdana Menteri
2) Melantik menteri kewangan sepenuh masa
3) Mengecilkan saiz kabinet kepada 20 perjawatan menteri penuh
Kepimpinan untuk penggal kedua Najib pasca PRU ke-13 telah mula berkuat kuasa pada 15 Mei 2013.
Dari tarikh tersebut, dua kali rombakan kabinet telah berlaku iaitu pada 25 Jun 2014 dan 28 Julai 2015.
Rombakan pada 28 Julai 2015 menyaksikan pemecatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal.
Antara 28 Julai 2015 dan penamatan tempoh perkhidmatan dua penggal senator Datuk Seri Idris Jala pada 2 September 2015, kabinet Najib mengandungi 37 orang menteri dan 32 orang timbalan menteri.
Pada tempoh tersebut, Jabatan Perdana Menteri telah mencatatkan jumlah seramai 11 orang menteri penuh (tidak termasuk PM dan TPM).
Langkah reformasi pertama yang perlu dilakukan oleh Najib ialah dengan mengecilkan jumlah terebut. Untuk rekod, jumlah menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum PRU 13 hanyalah 5 orang sahaja! Mampukah Najib lakukannya?
Atau setidak-tidaknya, dengan penamatan perkhidmatan Idris Jala dan Tan Sri Abdul Wahid Omar, diharap tiada lagi penambahan perjawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tambahan lagi, memandangkan tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Datuk Paul Low dalam mengangkat isu-isu integriti dan anti korupsi, saya mencadangkan agar beliau bersara dari kabinet dan tiada perlantikan baru dibuat bagi mengisi kekosongan tersebut.
Dari sudut yang lain pula, ‘panglima perang’ atau warlords Umno seperti Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Azalina Othman bolehlah mempengerusikan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu parlimen untuk memainkan peranan yang lebih.
Tidak perlulah sehingga terpaksa ‘disumbat’ semahu-mahunya di Jabatan Perdana Menteri ini.
Mewujudkan jawatankuasa-jawatankuasa khas parlimen untuk memposisikan warlord Umno bagi saya merupakan langkah ‘menang-menang’Najib untuk mengawal sekaligus memastikan kabinetnya dapat terus digerakkan oleh menteri-menteri yang kompeten.
Pemimpin komponen BN seperti Datuk Mah Siew Keong, Datuk Wee Ka Siong, Datuk Seri Joseph Kurup dan Datuk Joseph Entulu perlu diberikan peluang menjadi menteri di kementerian-kementerian tertentu, bukan sekadar ‘asal boleh’ menempatkan mereka di Jabatan Perdana Menteri dengan tanggungjawab yang amat kecil dan tidak signifikan.
Reformasi kedua yang mesti dilakukan oleh Najib ialah memisahkan bidang kuasa perdana menteri dari kementerian kewangan.
Skandal 1MDB merupakan indikasi jelas bahawa perdana menteri dan menteri kewangan tidak boleh diterajui oleh satu individu yang sama. Keadaan ekonomi global dan cabaran semasa yang bakal kita hadapi kini menjadi asas yang kuat bahawa seorang menteri kewangan sepenuh masa amat diperlukan
Secara peribadi, saya tidak melihat keupayaan menteri kewangan kedua, Husni Hanadzlah untuk mengepalai kementerian ini. Hemat saya, Datuk Seri Mustapha Mohamad lebih wajar memainkan peranan tersebut.
Reformasi yang ketiga ialah dengan mengecilkan saiz kabinet sedia ada. Kabinet yang kecil tetapi efektif telah diamalkan di negara-negara demokrasi hari ini dan kebanyakkannya dengan disisipkan menteri-menteri junior atau junior ministers.
Cadangan saya;
Kementerian Pendidikan serta Pendidikan Tinggi disatukan dibawah satu kementerian. Tiada keperluan memisahkan antara keduanya;
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan digabungkan dalam satu kementerian. Pemisahan antara keduanya membuatkan koordinasi dasar antara kedua-duanya lebih sukar;
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Perusahaan Perladangan dan Komoditi digabungkan menjadi satu;
Tiga ‘kementerian kecil’ yang wujud untuk menampung perjawatan junior ministers dari Sabah dan Sarawak iaitu Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar perlu digabungkan menjadi satu bagi memastikan koordinasi polisi yang lebih baik dan bersepadu. Bahkan jika ada perjawatan menteri baru yang ingin dilantik dalam kerangka maksud yang sama, ia mestilah tetap berada dibawah satu Kementerian.
Dua lagi harapan saya ialah;
Menteri yang baru dapat dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Anifah Aman di Kementerian Luar Negeri.
Cabaran yang dihadapi di rantau ini kian memuncak khususnya di Laut Cina Selatan. Saya melihat Anifah gagal memainkan peranannya dengan efektif dan perlu diganti.
Kementerian Wilayah Persekutuan dimansuhkan. Sebagai ganti, Kerajaan Negeri yang dipilih melalui pilihan raya bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diwujudkan manakala pilihan raya Kerajaan Tempatan mengambil tempat di Putrajaya. Begitulah juga perihal Labuan di Sabah.
LIEW CHIN TONG adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP dan Ahli Parlimen Kluang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.