KUALA LUMPUR - Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah telah memilih untuk tidak dilantik semula dalam rombakan dan penyusunan semula kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan malam ini berkata Ahmad Husni tidak digugurkan, malah namanya turut tersenarai dalam barisan kabinet menteri yang baharu itu.
"Sehinggalah beliau sendiri yang menawarkan untuk tidak dilantik semula dan perdana menteri dengan berat hati terpaksa menerimanya.
"Segala keputusan berkait Husni dalam parti dan kerajaan adalah keputusan beliau sendiri, kita sudah tentu amat menyanjungi pendirian beliau dan khidmat beliau yang sangat cemerlang kepada parti dan kerajaan," katanya.
Selain jawatan kabinetnya, Husni juga telah mengumumkan untuk meletak semua jawatan yang dipegangnya dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) termasuk sebagai Bendahari BN dan Ketua Umno Bahagian Tambun.
Annuar berkata, rombakan kabinet oleh perdana menteri adalah berasaskan pertimbangan yang mendalam dan mengambil kira semua faktor demi menjamin kerajaan pimpinannya dapat berkhidmat dengan lebih cemerlang untuk rakyat dan negara.
Beliau berkata, dalam rombakan kali ini, beberapa menteri kanan telah berpindah tempat demi memperkasakan lagi pentadbiran kerajaan dan tiada sesiapa yang digugurkan.
Katanya, penyusunan Kabinet juga adalah 'prerogative' perdana menteri yang dibuat selepas konsultasi dengan pemimpin-pemimpin kanan yang terlibat.
"Namun tidak semestinya penyusunan itu dapat memenuhi pilihan atau kehendak mana-mana individu," kata Annuar. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.