Oleh Muhammad Asyraf Azlan
PUTRAJAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini membuat laporan
mengenai dakwaan rasuah wang dan wanita dalam kerajaan Selangor kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Saya telah serahkan maklumat yang saya ada setakat ini mengenai
aduan-aduan yang diberikan kepada saya bersabit dengan pentadbiran
kerajaan Selangor dan individu tetentu.
"Saya tidak boleh memberikan maklumat secara terperinci kerana ia menyalahi undang-undang (kerana terikat dengan Akta SPRM).
"Apa yang saya harapkan kita perlu memberikan ruang kepada SPRM untuk
jalankan siasatan tanpa diganggu oleh politik dan persepsi lain,"
katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Beliau ditemani oleh Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin
Abdullah dan dua anggota parlimen, iaitu Wong Chen (Kelana Jaya) dan G
Manivannan (Kapar).
Rafizi membuat laporan tersebut selepas Presiden PKR, Datuk Seri Wan
Azizah Wan Ismail dan biro politik membuat keputusan membenarkan beliau
berbuat demikian.
Susulan mesyuarat biro politik PKR, Wan Azizah mengarahkan Rafizi untuk
mengemukakan semua bukti berhubung dakwaan permintaan wang dan
perempuan untuk berurusan dengan kerajaan Selangor yang dibangkitkan
sebelum ini kepada SPRM.
Terdahulu, Razfizi menyifatkan laporan yang dibuat ini adalah 'hadiah'
terbaik kepada peringatan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pemimpin dan
anggota parti tidak menyimpang dari niat dan matalmat asal perjuangan
reformasi.
Minggu lalu Rafizi dalam satu perbualan Whatsapp yang 'terbocor'
mendedahkan beliau menerima aduan bahawa wujud permintaan habuan wang
dan 'perempuan' ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.
Rafizi mengakui beliau menulis dalam ruang sembang berkumpulan aplikasi
WhatsApp mengenai kejadian rasuah wang dan seks membabitkan kerajaan
Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.