KUCHING: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11) selesai jam 5 petang ini.
Kertas undi bagi pengundi awal hanya akan dikira mulai jam 4 petang
pada hari pengundian biasa (7 Mei) yang dilaksanakan secara berkelompok
di tempat pengiraan undi yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bilangan keluar mengundi untuk pengundian awal Pilihan Raya Negeri
ke-11 (PRN11) direkodkan setakat jam 3 petang tadi adalah 69 peratus,
menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam satu kenyataan ringkas, SPR turut memaklumkan 33 Pusat Mengundi
Awal sudah pun ditutup tepat jam 2 petang tadi. Sebanyak 46 Pusat
Mengundi Awal yang lain masih dibuka sehingga jam 5 petang ini.
Peratusan keluar mengundi untuk pengundian awal Pilihan Raya Negeri
ke-11 (PRN-11) direkodkan setakat jam 12 tengah hari adalah 49 peratus,
menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sebanyak 31 peratus daripada 24,604 pengundi awal berdaftar bagi
Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak sudah membuang undi setakat
11 pagi tadi.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, proses
pengundian di 79 pusat pengundian di seluruh negeri ini juga berjalan
lancar.
“Cuaca amat elok pada hari ini, manakala semangat pengundi juga dilihat
tinggi apabila pengundi terdiri daripada anggota pasukan keselamatan
seperti tentera bersama pasangan sanggup membawa anak-anak kecil untuk
datang menunaikan tanggungjawab di pusat pengundian.
“Antaranya, ada pasangan yang membawa bayi baru berusia seminggu untuk
datang mengundi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas
mengadakan tinjauan ke pusat pengundian awal di Dewan Bukavu, Kem
Penrissen di sini hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.