Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Entah apa
malangnya bagi DAP, jodoh politiknya dengan parti-parti politik yang
didominasi oleh ahli-ahli politik Melayu lazimnya tidak bertahan lama.
Baik dengan parti Semangat 46 mahupun PAS, ada sahaja yang tidak kena
hingga menyebabkan perceraian.
Isu mengapa pemimpin-pemimpin Melayu Islam terlalu taksub dengan soal
melaksanakan syariat Islam secara komprehensif dan (tetapi) agak
‘keberatan’ pula untuk merangkul semangat fahaman sekularisme masih
sukar difahami DAP.
Sebenarnya jika DAP gagal menjiwai apakah ikatannya semangat syariah
Islamiah dengan amalan dan fikiran politik orang-orang Melayu-Islam,
selagi itulah agak mustahil untuknya menjalin kerjasama dalam apa bidang
sekalipun dengan dunia politik Melayu.
Justeru, persoalan mengapa sukar sangat politikus Melayu-Islam memahami
jiwa perjuangan DAP, kini bolehlah dilihat sebagai satu alasan bagi
parti dominasi Cina itu berhujah kepada pengundi bukan Melayu bahawa ia
sebenarnya, ‘pihak yang teraniaya’.
Pasak persoalannya ialah, bukan sekadar politikus Melayu sukar memahami
fahaman sekularisme DAP, tetapi ia juga bersangkut dengan persoalan
mengapa payah sangat untuk DAP sendiri mengerti sensitiviti politik
Melayu?
Sejak percubaan bergabung tenaga dengan parti serpihan Umno, Semangat
46 dan kemudian PAS dalam Gagasan Rakyat yang berkesudahan dengan
fasakh politik, DAP kemudian menunggu lebih sedekad sebelum membentuk
gabungan baru.
Usahasama terbaik DAP dengan parti-parti politik dominasi Melayu
berlaku apabila mereka menemui pemimpin Melayu yang boleh mereka
percayai dalam bentuk Anwar Ibrahim yang tidak banyak mementingkan soal
sentimen kaum dan agama tetapi fokus untuk menang.
Sejak kembali aktif dalam politik pada 2004, Anwar berjaya
memperbetulkan sedikit kompas politik DAP terhadap isu bagaimana
menjalin kerjasama politik dengan pemimpin-pemimpin Melayu.
Hasil pimpinan Anwar amat lumayan bagi DAP. Impian DAP menafikan Umno
dan BN memperolehi majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat supaya tidak
boleh meminda dan dan memperkenalkan undang-undang baru tercapai pada
pilihanraya umum 2008.
Maka bertambahlah kayakinan DAP bahawa ia boleh menjadi parti yang
tidak perlu dicurigai atau dibenci oleh orang Melayu. Tanpa menoleh ke
belakang DAP bersetuju membentuk struktur kerjasama politik lebih
teratur dalam bentuk Pakatan Rakyat pada 2008.
Rasa bermusuhan dengan PAS yang dianggapnya ekstrim pegangan agamanya
sebelum ini pun luruh dari congakan politiknya. DAP yakin bersama Anwar,
kekhuatirannya terhadap hukum hudud PAS tidak akan menjadi penghalang
bagi pembinaan pakatan baru itu.
Namun tidak sampai lapan tahun dalam “kedamaian alunan utopia politik”
itu DAP terpaksa berhadapan dengan realiti -- ia masih ada masalah
dengan parti-parti politik pimpinan politikus Melayu – tanpa Anwar
Ibrahim.
Mula-mula dengan PAS. DAP berasa bahawa PAS tidak menepati janji. DAP
juga menganggap PAS rupanya lebih senang hidup bersama parti
Melayu-Islam lain seperti Umno. Rasa cemburunya terhadap PAS menerpa
lagi.
DAP pun menjarakkan diri dari PAS. Cara paling “membunuh” ialah
menyerang wibawa presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang
dituduh tidak menepati janji dan mahu ‘meloloskan diri’ dari ikatan
perjuangan Pakatan Rakyat.
Dipasung pula dengan ‘dendam kesumat’ pemimpin-pemimpin liberal PAS
yang juga mula mahu mengenepikan Hadi dari pucuk pimpinan PAS, DAP
memutuskan hubungan dengan PAS secara tuntas.
Bagaimanapun masalah DAP dengan watak-watak pemimpin Melayu-Islam tidak
berhenti setakat menolak PAS dan pemimpinnya. Isu itu menerpa lagi
dalam hubungannya dengan sebuah lagi parti politik pimpinan Melayu iaitu
PKR.
Rupa-rupanya bagi DAP, PKR juga mempunyai tabiat politik yang sama
dengan pemimpin politik Melayu lain. Ini menghasung semula rasa curiga
DAP pada pemikiran dan prejudis caragaya politik Melayu.
Mungkin yang agak menghiburkan DAP sedikit ialah rakan politik Melayu
yang baru dikenalinya iaitu Parti Amanah Negara (PAN). Ternyata PAN
mempunyai pandangan dan bacaan politik yang boleh ‘menusuk dalam arena
politik Melayu’.
PAN menafsirkan apa yang berlaku dalam gelanggang politik Melayu
sekarang dirancang oleh Umno! Menurut intepretasi PAN, Umno menggunakan
strategi dua fasa setelah menganalisis kekuatan Pakatan Rakyat.
Teori PAN ialah, pusar kekuatan pakatan adalah Anwar Ibrahim yang
mengikat rasa kebersamaan di antara PKR, PAS dan DAP. Sebab itu
dikatakan Anwar perlu disingkir dari arena politik tanah air dan
dipenjarakan.
PAN juga berpandangan bahawa Umno mulai ‘meracuni’ pemikiran politik
pemimpin-pemimpin PAS dengan tujuan memecahbelahkan mereka dengan
menggunakan peluru sentimen ulama dan profesional.
Racun politik ditabur sejak PAS mula terbabit dalam Pakatan Rakyat.
Matlamat utama ialah melagakan golongan ulama dan profesional dalam PAS.
Racun itu mengambil masa lebih lima tahun untuk menyakiti perpaduan
dalam PAS.
Akhirnya meletuslah pertembungan ulama dan penyokong profesional dalam
parti itu hingga ramai yang meninggalkan PAS untuk membentuk PAN. Begitu
teliti perancangan Umno bagi PAN.
Apabila Anwar dipenjara, budaya musyuwarah di antara DAP, PAS dan PKR
mula mati dan terkuburlah Pakatan Rakyat. PAS tersingkir dari Pakatan
Rakyat dan PAN pula menjadi kerabat baru dalam gerakan yang diberi nama
Pakatan Harapan.
Namun virus curiga kaum dan agama merasuk PKR pula. Versi sejarah PAN
ini menguja DAP lebih cepat mencurigai PKR. Ini memuncak dalam
Pilihanraya Negeri Sarawak apabila PKR berebut dengan DAP untuk
meletakkan calon di lebih banyak kerusi DUN.
Demikian satu versi jalur pemikiran DAP mengapa jodohnya dengan
parti-parti Melayu tidak panjang. Agak jelas juga pemangkinnya ialah
‘bisikan politik’ yang memberi gambaran dan harapan kepada DAP bahawa ia
bukan punca perceraian politik sebelum ini.
Bisikan ini tentunya datang daripada entiti politik Melayu yang ingin
meramahi dan memenangi kepercayaan DAP. Umum tentu tidak sukar membaca
pihak mana membentuk pendirian politik ini.
Mungkin ini semua yang menyebabkan DAP berasa ia mempunyai “kelebihan”
atau darjat politik yang lebih tinggi. Mungkin faktor ini yang mendorong
DAP berfikir bahawa dalam persaingan barunya dengan PKR, ‘ia akan tetap
berada di atas’.
Keputusan PRN Sarawak akan diketahui tidak sampai seminggu lagi. Jika
DAP dan PKR mencatat prestasi baik tidak mustahil bak carik-carik
politik, kedua parti mungkin masih boleh “dicantum” lagi.
Namun sebaliknya jika DAP mengulangi atau memperbaiki rekod PRN Sarawak
2011 (tanding 15 dan menang 12 kerusi) dan PKR gagal memperbaiki
catatan bertanding 40 tapi menang tiga kerusi, DAP tentu tidak akan
‘memberi muka’ kepada PKR dalam sebarang perbincangan melanjutkan
kerjasama mereka.
Keputusan sedemikian adalah dalil bagi DAP bahawa PKR ‘tidak sekufu’
dengannya di persada politik. DAP pula sudah ada sekutu baru yang
sanggup mengambil alih fungsi PAS dan PKR mengabsahkan ketulusan
perjuangannya untuk rakyat, termasuk Melayu.
Tiada kekesalan dan kerisauan bagi DAP jika keadaan itu berlaku kerana
kali ini ia akan menjadi peneraju sistem dua parti dan bukan PKR atau
PAS. Kedua-dua bekas sekutunya sudah gagal ujian kredibiliti dan
integriti kerana tidak tahu menghormati janji.
Bagaimanapun jika keputusan sebaliknya berlaku, DAP akan beranggapan
PKR tidak pula wajar memimpin pembangkang kerana tanpa DAP, PKR adalah
kuasa penentang Umno-BN yang kerdil kerana mempunyai hanya 30 kerusi di
parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.