SUNGAI BESAR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas pihak
yang mempersoalkan pemilihan Dr Abdul Rani Osman sebagai calon PAS pada
Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.
Tegas beliau perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pemilihan orang luar bukan sesuatu yang luar biasa.
“Lim Guan Eng (Ketua Menteri DAP) bertanding di Pulau Pinang, walhal
dia bukan orang Pulau Pinang. Jadi tidak ada masalah,” ujarnya dalam
sidang media di Markas PAS, Simpang Lima malam tadi.
Ketika mengumumkan Rani sebagai jaguh PAS menghadapi cabaran PRK Sungai
Besar, Hadi dalam ucapannya berkata calon terpilih itu telah diluluskan
oleh Majlis Syura Ulama parti Islam itu.
Rani ketika ditanya pemberita enggan mengulas lanjut isu berkenaan.
“Saya telah dinasihatkan oleh Tuan Guru Presiden (Hadi) agar tidak memberikan sebarang kenyataan,” ujarnya.
Dalam sidang media itu juga, Hadi ditanya mengenai usul Rang
Undang-Undang (RUU) persendirian untuk meminta Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
“Orang bukan Islam sepatutnya tidak masuk campur, MIC dan MCA lebih faham dan DAP pula tidak faham, ia sangat mendukacitakan.
“PAN (Parti Amanah Negara) pula tidak faham sempadan,” katanya yang merujuk kepada sikap DAP dan Amanah dalam isu ini.
Abdul Hadi turut mendakwa DAP mempunyai agenda untuk memburukkan agama Islam.
“Ada agenda di belakang DAP yang cuba hendak memburukkan Islam dan
kebimbangan sekiranya dilaksanakan menurut Islam akan mendapat respon
positif daripada penganut bukan Islam.
“Ini sebenarnya menakutkan DAP,” tegas Hadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.