Isnin, 30 Mei 2016

Air kolam bagaikan teh susu!

Air kolam bagaikan teh susu!
Air kolam bagaikan teh susu!


HULU TERENGGANU - Bagaikan air teh susu! Begitulah warna air di kolam tema serta kawasan air terjun di Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS), di sini, yang begitu keruh serta berlumpur sehingga menyebabkan pengunjung kecewa tidak dapat mandi-manda dan pulang hampa.

Difahamkan, keadaan tersebut sudah berlanjutan sejak tiga hari lalu berikutan hujan pada sebelah petang dan ia kejadian pertama berlaku di luar musim tengkujuh.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, pengunjung terutamanya yang datang berkeluarga terpaksa pulang semula setelah melihat keadaan air dan kerja-kerja membersihkan kolam tema juga giat dijalankan pekerja kebersihan.

Seorang pengunjung, Muhd Faiz Zaim,21, daripada Kuala Terengganu berkata dia terkejut melihat warna air begitu keruh dan turut terkilan kerana keinginannya mandi-manda di kolam tema tidak tercapai apatah lagi perjalanannya untuk sampai lebih daripada 50 kilometer.

“Mulanya saya hanya lihat dasar kolam tema dipenuhi  lumpur dan sedang dibersihkan sekali gus menghampakan saya kerana tidak dapat mandi. Setelah meninjau sekeliling, saya benar-benar terkejut melihat warna air di kawasan air terjun begitu keruh, macam air teh susu.

“Barulah saya tahu kerja membersihkan kolam tema dilakukan akibat air keruh berlumpur kerana setahu saya sumber air ditakung di sini adalah semulajadi daripada air bukit. Sebagai pengunjung, tentunya saya agak kecewa kerana terpaksa pulang hampa.

“Saya berkunjung ke sini sudah lebih 10 kali tetapi ini kali pertama melihat air jadi teh susu begini. Ralat memang ralat, tetapi apa boleh buat selain harapkan ia takkan berulang, jika tidak lama-kelamaan orang tidak berminat datang ke sini lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Atikah Hamdan, 21, daripada Panji Alam, Kuala Terengganu, sekiranya air keruh tersebut berpunca daripada  aktiviti manusia di kawasan hulu sungai dia mengharapkan agar pihak berkaitan dapat melihat perkara tersebut sekali gus ambil langkah sewajarnya.

“Akhir-akhir ini terutamanya di sebelah daerah Hulu Terengganu ini hujan hampir setiap petang. Warna air bertukar keruh juga berikutan hujan tetapi bila melihat ia begitu keruh begini saya tidak menolak kemungkinan ia turut berpunca dari kegiatan manusia.

“Sebagai pengunjung tentunya saya kecewa kerana datang ke sini untuk riadah dan mandi-manda tetapi tidak dapat berbuat demikian. Kalau mandipun, saya khuatir keadaan air begitu akan beri kesan pada kesihatan kulit pula nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus TPNS, Mohd Amran Awang ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata kejadian air keruh sedemikian pertama kali berlaku di kawasan berkenaan di luar musim tengkujuh dan pihaknya sendiri tidak menyangka terjadinya keadaan itu.

“Kalau musim tengkujuh, ia perkara biasa kerana air besar mengalir turun dari bukit di kawasan Hutan Simpan Sekayu tetapi sekarang ini musim tersebut sudah berakhir, cuma kebelakangan ini hujan hampir saban petang.

“Sejak Jumaat lalu, kolam tema telahpun ditutup kepada pengunjung buat sementara waktu bagi kerja-kerja pembersihan. Cuma saya khuatir jika kejadian air keruh ini berlanjutan kerana ia kelak pasti akan beri kesan pada jumlah kedatangan pengunjung.

“Sebenarnya, TPNS ini baharu sahaja dibuka kembali 1 April lalu selepas ditutup akhir tahun lalu sepanjang musim tengkujuh dan sehingga kini kita telahpun terima jumlah kedatangan pengunjung kira-kira 15,000 orang.

“Berikutan air keruh begini ia pastinya akan menjejaskan jumlah kehadiran pengunjung, sedangkan sasaran kita pada tahun ini ialah 100,000 orang. Lagipun kolam tema dan kawasan air terjun lokasi tumpuan utama serta antara daya tarikan pengunjung di TPNS ini," ujarnya.

Tambah Mohd Amran, sebelum bertukar keruh warna air terlebih dahulu berwarna putih seperti susu dan kejadian berlaku minggu lepas itu turut menyebabkan hampir 50 ekor ikan termasuk patin, lampan dan talapia terdapat di dalam kolam hiasan telah mati.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.