KOTA BHARU - Taktik sebuah restoran nasi kandar yang tidak mempunyai status halal dan menggunakan ayat al Quran sebagai mengaburi mata pelanggan beragama Islam untuk membeli makanan akhirnya terbongkar dalam satu pemeriksaan di sini.
Pemeriksaan dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bersama Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) serta Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Difahamkan, dalam operasi berkenaan seorang tukang masak yang disoal siasat mengaku sebagai bukan Islam dan ada ayat al-Quran dipamerkan hadapan restoran.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, penglibatan orang bukan Islam dalam proses penyediaan makanan boleh menyebabkan umat Islam terdedah kepada makanan tidak halal.
Beliau berkata, pihak JAHEAIK akan membuat pemantauan lanjut ke atas restoran yang terbabit kerana ramai pelanggannya adalah umat Islam.
"Bahagian Penyelidikan dan Halal JAHEAIK akan terus melakukan pemantauan dan siasatan ke atas restoran itu dalam masa terdekat.
"Sekiranya terbukti mereka mengaji pekerja bukan Islam yang mendedahkan umat Islam kepada makanan haram maka pemilik restoran boleh didakwa.
Sekiranya mereka mempunyai status halal, ianya berhak ditarik balik," katanya.
Dalam operasi itu, empat lagi restoran diperiksa dan menepati status halal kerana mengaji pekerja beragama Islam dan kesemua ayat al-Quran yang dipamerkan termasuk yang digantung di dinding menepati kriteria yang ditetapkan serta betul susunan ayatnya.
Bagaimanapun, sebuah restoran lagi Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, menimbulkan syak kerana pekerja yang menyediakan makanan mengaku bukan beragama Islam selain tidak fasih berbahasa Melayu.
Ketika disoal siasat pekerja terbabit memberi alasan dokumennya tertinggal dan terpaksa pulang mengambilnya di rumah.
Selepas menunggu beberapa lama pekerja terbabit tidak muncul dan dipercayai sudah melarikan diri kerana bimbang dikenakan tindakan.
Difahamkan, empat lagi restoran yang diperiksa adalah Restoran Ali Khan, Al Malek 1 dan 2 serta Restoran Nasi Kandar Kubang Kerian dan kesemuanya mematuhi syarat yang ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.