Oleh MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
JITRA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi gesaan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya
Beliau berkata, ia perlu segera dibuat susulan kegagalan Najib menyelesaikan banyak isu berbangkit termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kehilangan wang berbilion ringgit.
“Kalau dia (Najib) tak digugurkan sekarang,
saya yakin (BN) akan hancur dalam PRU14. Najib akan kalah, BN akan kalah
dan Umno akan Kalah. Apa jadi lepas itu, sama-samalah kita lihat.
“Tapi
kalau kita dapat gugurkan Najib sekarang, mungkin parti yang terbesar
dalam Dewan dapat memilih pemimpin baru yang tidak mengulangi apa yang
dilakukan Najib,” katanya pada program bicara isu-isu semasa Selamatkan
Malaysia (Team B Umno) di Dewan Lye Huat Garden, Napoh, di sini, malam
semalam.
Menurutnya, parti keramat yang banyak berjasa itu juga kelihatan sudah tidak lagi berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
“Kenapa
saya tinggalkan Umno? Kata pepatah Melayu kalau sayangkan anak,
tangan-tangankan; sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan. Tapi saya juga
tinggalkan Umno kerana sayang.
“Saya melihat
Umno hari ini bergerak hanya untuk mempertahankan presidennya walaupun
membuat benda yang salah. Mereka membisu kerana mungkin sudah disuap
dedak ke dalam mulut mereka,” katanya.
Menurutnya,
Umno yang dahulu memperjuangkan agama, bangsa dan negara sudah tidak
lagi mengamalkan demokratik sebaliknya hanya untuk menyokong presiden
parti dan perdana menteri.
“Melihat keadaan ini
bahawa Umno tidak lagi memperjuangkan bangsa kita, saya tidak dapat
lagi kekal dalam Umno. Sebab itu saya keluar Umno. Kita dapati Umno
seolah-olah bisu dan tak boleh bercakap, bahkah dengar pun tak boleh.
“Dia
percaya dengan duit boleh buat apa saja dan rakyat akan sokong kalau
dia bagi duit. Sebab itu kita lihat dia ada BR1M (Bantuan Rakyat
1Malaysia) RM500 setahun. Mungkin bagi sesetengah orang RM500 itu besar,
tapi kebanyakan yang terima lebih RM500,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.